BERIKUT adalah rangkuman berita yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini.


MRT penanda aras perancangan masa depan negara - PM Najib

Projek Transit Aliran Massa (MRT) dilihat sebagai permulaan perjalanan baharu kepada negara yang menjadi 'game changer' dan penanda aras kepada semua perancangan di masa hadapan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia merupakan projek berpaksikan rakyat yang holistik, dan bukan sekadar sebuah pengangkutan awam.

Najib dijadual merasmikan Fasa 1 MRT Laluan SBK (Sungai Buloh-Kajang) meliputi 12 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan, hari ini (Khamis).

MRT


Hina institusi Raja: Nadi Rakyat buat laporan polis terhadap Zahid Mat Arip

MOHD RAFI

Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia membuat satu laporan polis terhadap seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Zahid Mat Arip selepas dikatakan menghina dan memperbodohkan institusi Raja-Raja Melayu.

Zahid sebelum ini didakwa muncul dalam sebuah video menghina secara terbuka dengan mengatakan bahawa institusi Raja-Raja Melayu kini dipengaruhi politik.


Rebat tarif elektrik Semenanjung, Sabah dan Labuan kekal


Kerajaan bersetuju mengekalkan rebat tarif elektrik sebanyak 1.52 sen/kWJ di Semenanjung dan 1.20 sen/kWJ di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun, tahun depan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili berkata kerajaan juga bersetuju melepaskan penjimatan mekanisme Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) sebanyak RM766.33 juta menerusi rebat tarif elektrik 1.52 sen/kWj di Semenanjung kepada semua pengguna kecuali yang menggunakan elektrik bulanan di bawah 300kW/j.

Bagi Sabah dan Labuan pula, rebat sebanyak 1.20 sen/kWj turut dinikmati pengguna kategori sama.


Serangan siber: Yahoo akui 1 bilion akaun pengguna mungkin diceroboh pada 2013

Yahoo Inc memberi amaran tentang satu serangan siber besar-besaran, yang antara lain meletakkan data 1 bilion pengguna dalam risiko selepas diceroboh pada Ogos 2013, sekali gus menjadikannya kes terburuk dalam sejarah.

Bilangan akaun yang terjejas adalah dua kali ganda berbanding serangan tahun 2014 seperti yang didedahkan syarikat itu pada September lalu.


Menara Eiffel bergelap tanda sokongan kepada rakyat Aleppo

Lampu yang menyinari Menara Eiffel di Paris ditutup pada Rabu bagi menunjukkan sokongan kepada rakyat Aleppo, Syria yang berdepan serangan daripada rejim pemerintah.

Monumen tersebut bergelap dari jam 8 malam waktu tempatan, dan Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo berkata ia adalah sebagai tanda protes terhadap situasi dahsyat yang dihadapi orang awam dalam bandar Aleppo.