Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Pengundi muda 'trauma' pilih calon tidak berprestasi - Belia

61665412894_BenderaPartiBarisa.jpg
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal pada 28 Julai bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengundi muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dibayangi rasa waswas untuk keluar mengundi dan memilih calon yang bertanding.  

Penolong Setiausaha Kehormat Majlis Belia FELDA Wilayah Raja Alias (MBFWPA), Ana Mohd Shukor berkata antara faktor yang menimbulkan kegusaran tersebut adalah kerana timbul 'trauma' berikutan kesan pemilihan mereka menyebabkan wakil rakyat dipilih tidak mampu berkhidmat dengan prestasi yang diharapkan.  

"Landskap politik Negeri Sembilan ini lebih kepada anak muda yang ada perasaan waswas, tidak yakin dengan calon yang bertanding dan trauma. Mungkin mereka pernah pilih satu calon, tetapi tidak memberi kesan. Kemudian, dalam pilihan raya kali ini, mereka bertanding lagi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Anak Muda pada Jumaat.

Tambah Ana, pengundi muda di Negeri Sembilan cenderung untuk memilih berdasarkan faktor calon berbanding faktor parti politik yang diwakili.

Mengulas lebih lanjut mengenai hal itu, Presiden Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (PERMANIS) Kebangsaan, Fitri Nul Iman Mohd Rais berpandangan, belia juga sukar membuat pilihan ketika mengundi memandangkan calon-calon yang bertanding tidak mendekati pengundi muda.

"Mahasiswa masih berbelah bahagi. Mereka bukan tidak matang, tetapi memang masih wujud mahasiswa yang tidak ambil tahu (soal demokrasi dan politik). Apabila saya tanya kawan-kawan di Johor, mereka undi berdasarkan apa yang ibu bapa suruh.  

"Mereka kata, kalau mereka hendak mengundi sekalipun, mereka tidak tahu hendak undi calon yang mana. Mereka kata calon pun tidak pernah dekati dan tidak terlihat di media sosial. Generasi Z ambil informasi daripada media sosial," ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal pada 28 Julai.

Dialog Anak Muda: Rentak Pembangunan, Demokrasi Belia Negeri Sembilan

Must Watch Video

Advertisement