JELEBU: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa jawatan pegawai khas Orang Asli di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan akan diwujudkan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat membentuk kerajaan negeri.
Pengerusi BN itu berkata, cadangan berkenaan dibuat susulan permintaan yang dikemukakan Tok Batin dan menyifatkan permintaan itu sebagai munasabah.
“Kalau di Perak pun boleh dilantik, pastikan kerajaan yang akan memerintah Negeri Sembilan ialah kerajaan Barisan Nasional. Insya-Allah, akan ada pegawai khas Orang Asli di Pejabat Menteri Besar.
“Ini permintaan mereka dan saya fikir permintaan itu adalah munasabah kerana di Pahang dan Perak, jawatan itu telah diwujudkan.
“Kita lihat hubungan terus kepimpinan Orang Asli dengan Pejabat Menteri Besar di kedua-dua negeri itu berjalan dengan baik.
“Saya juga ingin mencadangkan supaya di Johor, memandangkan ramai masyarakat Orang Asli di negeri itu, Menteri Besar Johor dapat melantik seorang pegawai khas yang mewakili masyarakat Orang Asli di pejabat beliau nanti, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pada Program Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan di Kampung Tohor, di sini, hari ini.
Turut hadir pada program itu ialah Ahli Parlimen Cameron Highland, Datuk Ramli Noor, Ahli Parlimen Jelebu yang juga calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan calon DUN Chennah Siow Kong Choon.
Pada masa sama, Ahmad Zahid menegaskan usaha membela masyarakat Orang Asli oleh BN dilaksanakan secara konsisten dan bukan hanya ketika musim pilihan raya.
Beliau berkata, sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, beliau sentiasa mengambil berat kebajikan masyarakat Orang Asli dan bertemu Tok Batin sekurang-kurangnya dua kali setiap tahun.
“Ertinya, saya mengambil kepedulian kepada masyarakat Orang Asli. Setiap tahun, paling kurang saya jumpa dua kali Tok Batin.
“Ini bukan kempen pilihan raya sahaja. Bukan lima tahun sekali baru datang ke Kampung Tohor ini,” katanya.