KUALA LUMPUR:Rapid Bus Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan operator perkhidmatan bas Rapid KL, hari ini mengumumkan penstrukturan semula Laluan T756 dan T221 berkuat kuasa 1 Jan 2021 dan dijangka menjadi peringkat terakhir dalam inisiatif pelaksanaan rasionalisasi laluan-laluan bas kendaliannya.

Rapid Bus dalam kenyataan memaklumkan penstrukturan semula itu melibatkan pemendekkan Laluan T756 antara Bukit Kemuning, Shah Alam dan Hentian Bandar iaitu bermula dari Hentian Bandar Seksyen 14 Shah Alam dan berakhir di AEON Big, Bukit Rimau.

Menurut kenyataan itu, Laluan T221 antara Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Dato' Keramat dan Ampang Point, pula akan ditamatkan sepenuhnya berikutan terdapat pertindihan dengan laluan lain.

"Laluan T756 mempunyai pertindihan 25 peratus dengan perkhidmatan bas percuma SMART Selangor untuk Laluan SA06 dan SA08. Perkhidmatan SA06 (KTM Seksyen 19-Kota Kemuning) mempunyai kekerapan setiap 30 hingga 35 minit. Sementara, perkhidmatan SA08 (Stesen LRT Alam Megah-Kota Kemuning) mempunyai kekerapan perkhidmatan setiap 30 hingga 35 minit.

"Laluan 221 akan ditamatkan kerana ia bertindih dengan Laluan 220 (Taman Melawati-Lebuh Ampang) dan Laluan 253 (Stesen LRT Wangsa Maju-Ampang Point). Laluan 221 juga adalah bertindih dengan Laluan 220 dari Stesen LRT Dato' Keramat di samping bertindih juga dengan Laluan 253 sepanjang MRR2 ke Ampang Point," menurut kenyataan itu.

Justeru, para penumpang yang ingin meneruskan perjalanan dari Laluan T756 boleh menggunakan perkhidmatan bas percuma SMART Selangor Laluan SA06 dan SA08 sebagai alternatif ke Canal Garden, Kota Kemuning Business Park, Sekolah Kebangsaan Bukit Kemuning, Pangsapuri Sri Kemuning, Pangsapuri Sri Nervilla, Kemuning Greenville, Pusat Perniagaan Kota Kemuning dan Kota Kemuning Hills.

Sementara itu, katanya para penumpang boleh menggunakan Laluan 220 sebagai alternatif ke hentian LRT Dato' Keramat, Taman Datuk Keramat, Flat Keramat, Medan Selera Desa Keramat dan GSK.

"Untuk ke hentian Pusat Akuarium, Kuala Ampang, Ampang Puteri dan Ampang Point, para penumpang boleh menggunakan Laluan 253 dengan membuat pertukaran di hentian Flat Taman Sepakat," tambahnya.

Jelasnya, inisiatif pelaksanaan rasionalisasi laluan-laluan bas itu adalah untuk mengoptimakan sumber, akibat penurunan besar jumlah penumpang rentetan penularan wabak COVID-19 dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Senario itu menyaksikan jumlah penumpang bagi semua laluan menyusut kepada 180,000 penumpang sehari berbanding 429,000 penumpang, sehari tahun lepas.

"Untuk memantapkan operasi dan meningkatkan perkhidmatan untuk pengguna, inisiatif Rapid Bus yang berikutnya adalah meneruskan pelaksanaan 'Hub-and-Spoke' untuk laluan-laluan utama di koridor Jalan Ipoh, Jalan Pahang dan Lebuhraya Persekutuan.

"Di samping itu, Rapid Bus akan meneruskan inisiatif penjenamaan semua bas perantara LRT di laluan-laluan yang terpilih. Inisiatif ini berupaya menghubungkan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan rel ke stesen LRT secara efektif," katanya.

Pengguna boleh menggunakan aplikasi-aplikasi Google Maps atau Moovit atau melayari portal MyRapid Bus Kiosk di https://myrapidbus.prasarana.com.my/kiosk untuk mendapat info-info terkini mengenai perkhidmatan Rapid Bus bagi membantu merancang perjalanan mereka.

-- BERNAMA