KOTA TINGGI: Suasana di sebuah kawasan perniagaan di Taman Kota Jaya di sini bertukar cemas apabila saksi mendakwa terdengar letupan kuat yang pada awalnya disangka bunyi mercun, namun rupa-rupanya insiden tembakan yang mengorbankan tiga individu, hari ini.
Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Abdul, 33, seorang peniaga, berkata pada awalnya, dia melihat perang mulut melibatkan beberapa individu di sebuah premis makanan yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari premisnya, sebelum keadaan menjadi tegang dan bertukar kepada pergaduhan fizikal.
Advertisement
Abdul kemudian melihat suspek beredar ke kenderaannya sebelum kembali semula ke lokasi kejadian.
“Selepas itu, kami dengar beberapa das bunyi letupan yang kuat. Mula-mula ingatkan mercun, tetapi rupa-rupanya tembakan. Ketika itu memang semua panik dan kami terus tutup kedai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Seorang lagi saksi, peniaga yang mahu dikenali sebagai Hamzah, 57, berkata dia menyedari kehadiran suspek yang mencurigakan, berlegar-legar di kawasan berkenaan sebelum kejadian dan memerhati sekitar lokasi.
“Dia (suspek) memang ada di sini sebelum kejadian, tetapi kami tak sangka ia akan berakhir dengan tragedi. Selepas dengar bunyi letupan, orang ramai terus panik meminta tolong,” katanya yang telah berniaga lebih 10 tahun di kawasan itu.
BACA: Tiga maut ditembak di restoran di Johor
BACA: Tiga maut ditembak: Polis tahan suspek 71 tahun, motif dipercayai kerana hutang
Katanya, suspek yang dikenalinya sebagai penjual sayur dan pengusaha kebun di sekitar kawasan terbabit sebelum ini tidak mempunyai masalah dengan penduduk setempat.
Terdahulu, Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dalam kenyataan berkata dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing ditemukan maut akibat ditembak di sebuah restoran di Taman Kota Jaya di sini, tengah hari tadi.
Beliau berkata kesemua mangsa berusia lingkungan 37 hingga 63 tahun dipercayai ditembak menggunakan senjata api jenis shotgun serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ab Rahaman berkata pihak polis menerima laporan kejadian kira-kira 1.30 tengah hari sebelum pasukan digerakkan ke lokasi.
Beliau berkata seorang lelaki tempatan berumur 71 tahun telah ditahan kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian pada 2 petang bagi membantu siasatan. Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Tinggi esok.
-- BERNAMA