KUALA LUMPUR: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) menyediakan perkhidmatan van perantara secara percuma antara Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) dan Parlimen sempena pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada 26 Feb hingga 27 Mac ini.

Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan T851 itu disediakan sebagai perkhidmatan alternatif bagi menjamin kemudahan serta kelancaran perjalanan mereka yang mempunyai urusan di Bangunan Parlimen.

Ia juga dalam usaha mengurangkan kesesakan ruang letak kereta di pekarangan Parlimen.

"Perkhidmatan van percuma ini akan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, 7 pagi hingga 8 malam dengan kekerapan setiap 30 minit pada waktu puncak iaitu 7 pagi hingga 11 pagi serta 4 petang hingga 8 malam dan setiap 60 minit di luar waktu puncak mengikut jadual yang telah ditetapkan," katanya.

Van perantara percuma itu hanya mengambil penumpang dari Balai Pelepasan Express Rail Link KL Sentral serta Taman Botani Perdana, berhampiran tempat letak kenderaan bertingkat ke Bangunan Parlimen yang meliputi laluan sepanjang lima kilometer dan mengambil masa 15 minit perjalanan.

Rapid Bus menggalakkan orang ramai yang mempunyai urusan di Bangunan Parlimen untuk memanfaatkan perkhidmatan percuma yang disediakan.

Orang ramai boleh melayari laman web www.myrapid.com.my dan media sosial Rapid KL untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan van percuma itu.

Dewan Rakyat akan bersidang selama 69 hari pada tahun ini, dengan sidang pertama bermula 26 Feb hingga 27 Mac iaitu selama 19 hari.

-- BERNAMA