KUALA LUMPUR: Cadangan pelaksanaan rasionalisasi subdisi diesel seperti yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Okt lepas, menjadi antara tumpuan ahli Parlimen pada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) berkata, pelaksanaan subdidi bersasar, akan memberi banyak penjimatan kepada kerajaan dalam aspek penguatkuasaan, malah memberi kesan positif dalam usaha mewujudkan satu ekosistem kewangan yang lebih mantap.

"Sistem subsidi pukal diamalkan ketika ini tidak lagi relevan," katanya pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, di sini.

Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) pula berkata kerajaan wajar terlebih dahulu mencari penyelesaian, dalam menyekat subsidi petrol dan diesel daripada terus dinikmati warga asing di negara ini.

"Kawalan sempadan perlu diperketat bagi mengelakkan bahan api itu diseludup ke luar negara," katanya.

Sementara itu, Datuk R Ramanan (PH-Sungai Buloh) ketika membahaskan rang undang-undang itu, antara lain turut menyentuh mengenai isu kemiskinan.

Beliau berkata usaha merapatkan jurang perbezaan kemiskinan di negara ini, memerlukan penglibatan semua pihak berkepentingan untuk bersama-sama membantu golongan yang memerlukan.

"Setiap insan mempunyai peranan untuk menzahirkan sifat ihsan agar berkeupayaan dan berkemampuan meletakkan diri pada tempat orang lain, justeru kerjasama setiap pihak berkepentingan, sehinggalah ahli Parlimen kerajaan dalam membahaskan persoalan melibatkan kelangsungan rakyat di kawasan masing-masing, mampu mengakhiri kitaran ganas kemiskinan.

"Semua ini tidak boleh berlaku sekelip mata, tetapi keazaman dalam setiap insan untuk bersifat ihsan sebagai sebuah Masyarakat Malaysia MADANI, mampu melakar semula kisah negara kita yang lebih baik", katanya.

Seorang ahli Parlimen pula mencadangkan kerajaan mempertimbang pengenalan cukai atas simpan korporat, sebagai usaha meningkatkan pendapatan negara yang boleh disalurkan khusus kepada golongan miskin dan memerlukan.

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berkata cukai itu, boleh dikenakan terhadap simpanan korporat berjumlah besar yang melebihi RM1 juta.

"Di Malaysia tidak ada langsung cukai atas simpanan yang berjumlah jutaan, puluh juta malah bilion, langung tidak dikenakan cukai apabila ia genap setahun, jadi saya rasa kerajaan perlu mempertimbangkan cukai ini yang dirasakan akan dapat hasil besar.

"Jumlah cukai yang dikeluarkan tak perlu banyak, kerana golongan kaya juga perlu dijaga hak dan hasil mereka dan supaya mereka tidak dizalimi, jadi cukai 2.5 peratus setahun dengan ambil kira jumlah minimum setahun yang dimiliki oleh pihak syarikat dan korporat," katanya.

Muhammad Fawwaz berkata jumlah itu tidak akan membebankan golongan kaya dan kadar cukai yang dicadangkan itu bersesuaian dengan kadar zakat harta yang dikenakan oleh Islam, selain kerajaan boleh mengenakan kadar lebih rendah jika dibimbangi akan menimbulkan sentimen negatif dalam kalangan pelabur.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA