Skip to main content

Malaysia

Polis tumpaskan dua sindiket seludup vape, rokok bernilai RM13 juta

Op Taring Alpha 1 -- ABDUL WAFI NORAZMI
Mohd Yusri (tengah) berkata siasatan awal mendapati produk vape yang dirampas dipercayai diseludup masuk dari China. - Gambar/ Astro AWANI/ Abdul Wafi Norazmi
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan dua sindiket penyeludupan vape dan rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai RM13 juta, yang menjadikan dua premis di Batu Caves dan Puchong, Selangor sebagai stor penyimpanan sebelum mengedarkan bekalan ke pasaran sekitar Lembah Klang.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata siasatan awal mendapati produk vape yang dirampas dipercayai diseludup masuk dari China dengan sindiket menggunakan taktik pengisytiharan palsu bagi mengaburi pihak berkuasa ketika membawa masuk barangan itu melalui laluan laut.

Beliau berkata, hasil Op Taring Alpha 1 dan Op Taring Alpha 3, polis merampas produk vape dan rokok seludup serta menahan lapan individu dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan pada 27 dan 28 Julai lalu.

Menurutnya, dalam serbuan di Batu Caves pada 28 Julai, polis bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Pejabat Kesihatan Daerah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang menyerbu sebuah premis yang dikenal pasti sebagai lokasi penyimpanan dan pembekalan produk vape.

"Hasil pemeriksaan terhadap lima individu membawa kepada rampasan 131,036 kotak produk Salthub Zero, 4,900 botol cecair vape dan 25,510 unit peranti rokok elektronik pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM9.4 juta.

"Siasatan mendapati produk yang dirampas dipercayai tidak mematuhi Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Rokok Elektronik) 2022, Akta Perihal Dagangan 2011 serta Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024," katanya pada sidang media di Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini pada Khamis.

Mengulas serbuan di Puchong sehari sebelumnya, Mohd Yusri berkata, polis menahan tiga lelaki tempatan dan merampas 166 peti rokok mengandungi 1.66 juta batang rokok tidak bercukai bernilai RM3.306 juta.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua premis berfungsi sebagai pusat penyimpanan sebelum barangan berkenaan diedarkan kepada rangkaian pengedar di sekitar Lembah Klang.

Katanya, produk vape dipercayai dijual pada harga antara RM50 hingga RM400 seunit bergantung kepada jenama dan perisa.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, Bukit Aman merekodkan 236 kes, 411 tangkapan dan rampasan bernilai RM280.4 juta menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Julai lalu.

Beliau berkata, kejayaan itu hasil pelaksanaan operasi secara agresif dan bersepadu membabitkan Op Taring Alpha 1 (rokok seludup), Op Taring Alpha 2 (minuman keras tidak berkastam), Op Taring Alpha 3 (vape), Op Taring Bravo, Op Taring Chiller serta Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa di peringkat Persekutuan dan negeri.

"Sepanjang tempoh itu, Op Taring Alpha 3 merekodkan 11 kes membabitkan lima tangkapan dengan nilai rampasan RM9.5 juta, manakala Op Taring Alpha 1 merekodkan lima kes, 10 tangkapan dan rampasan bernilai RM6.1 juta.

"Pelaksanaan operasi lain turut menyumbang kepada kejayaan mengekang kegiatan penyeludupan, pengedaran barangan kontraban, eksploitasi hidupan liar, pencemaran alam sekitar serta jenayah rentas sempadan," katanya.

Mohd Yusri menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan dan perdagangan haram, termasuk dalang, pembekal, penyimpan, pengangkut serta pengedar.

"Tindakan penguatkuasaan tidak akan terhenti setakat rampasan dan tangkapan semata-mata. Fokus utama JKDNKA adalah mengenal pasti, menjejaki dan melumpuhkan keseluruhan rangkaian sindiket sehingga ke peringkat dalang utama menerusi tindakan risikan, siasatan dan penguatkuasaan secara bersepadu," katanya.

Must Watch Video

Advertisement