PUTRAJAYA: Enam individu termasuk pengarah dan kakitangan syarikat pelancongan yang dipercayai terlibat dalam sindiket rasuah pengagihan kuota tiket penerbangan umrah membabitkan nilai RM10.8 juta ditahan reman empat hari, bermula Jumaat.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini.

Menurut sumber, kesemua suspek itu ditahan secara berasingan dalam operasi khas di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.

Mereka kemudian dibawa ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya untuk direkodkan keterangan, petang semalam. 

Sumber berkata, sebuah syarikat terbabit dilantik sebuah syarikat penerbangan antarabangsa sebagai ejen tunggal untuk mengurus dan mengagihkan kuota tempat duduk bagi setiap penerbangan mengerjakan umrah.

"Modus operandi sindiket ialah mengenakan bayaran rasuah berjumlah RM50 hingga RM250 bagi setiap kuota tiket bagi jemaah umrah.

"Bayaran ini bagi memastikan agensi-agensi umrah mendapat kuota tempat duduk dalam setiap penerbangan yang dijadualkan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Menjelaskan lagi, sumber berkata, berdasarkan siasatan awal, sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan ini sejak 2018 lagi. Setakat ini, sebanyak 216,000 tiket diagihkan dengan bayaran rasuah kira-kira RM10.8 juta.

Tambah sumber berkenaan, baru-baru ini, timbul isu berhubung kenaikan harga tiket penerbangan bagi mengerjakan umrah kerana terdapat sindiket yang memonopoli kuota tiket dan penjualan tiket dengan harga yang tinggi.

"Agensi-agensi pelancongan umrah terpaksa membayar kos tambahan berbentuk rasuah ini bagi memastikan kuota jemaah mereka mendapatkan tempat duduk penerbangan. Ini merupakan antara faktor kenapa harga tiket penerbangan umrah tinggi," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi di sini, pada Jumaat mengesahkan penahanan enam individu itu.

"Kami menjangkakan lebih ramai individu akan ditahan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan," ujarnya.