MALAYSIA
Rasuah lebuh raya: Proses rekod keterangan 'Tan Sri' selesai - Azam Baki

Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan masih berjalan dan pihaknya akan memaklumkan selepas proses siasatan selesai sepenuhnya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai merakam keterangan individu bergelar Tan Sri bagi membantu siasatan berkaitan kes penyelewengan dana sukuk sebuah projek lebuh raya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan proses mengambil keterangan oleh pasukan penyiasat kali ketiga pada Khamis mengambil masa selama empat jam.
“Rakaman percakapan lebih kurang empat jam telah selesai dan setakat ini pegawai penyiasat tiada keperluan memanggil beliau lagi untuk dirakam percakapan,” katanya.
Tambah Azam, kertas siasatan masih berjalan dan pihaknya akan memaklumkan selepas proses siasatan selesai sepenuhnya.“Itu rakaman percakapan beliau sahaja. Tetapi siasatan masih lagi berjalan dan kita akan maklumkan bila kes ini telah selesai siasatannya.
“Buat masa ini saya belum dapat maklumat lanjut dari pegawai penyiasat rakaman percakapan dirakam lebih kurang empat jam,” katanya.
Menurut beliau, tahap kesihatan individu bergelar Tan Sri itu berada pada tahap baik.
“Nampak okay pada hari ini dan setakat ini kita tidak memerlukan menyambung (rekod keterangan),” katanya.
Dua pegawai penyiasat SP dilihat beredar dari lokasi kediaman individu bergelar Tan Sri itu kira-kira jam 4.34 petang.
Terdahulu, pasukan penyiasat SPRM tiba di kediaman berkenaan sekitar jam 9.10 pagi bagi merakam keterangan individu terbabit.
Proses mengambil keterangan oleh pasukan penyiasat tersebut merupakan kali ketiga, selepas tindakan sama dilakukan pada 11 dan 12 Jun lalu.
Sebelum ini, SPRM menyita aset dalam negara berjumlah RM141 juta serta sedang mengesan aset luar negara bernilai RM15 juta yang dikaitkan dengan penyelewengan dana sukuk projek pembinaan lebuh raya berkenaan.
Jumlah aset yang disita membabitkan akaun individu sebanyak RM4.5 juta, akaun syarikat RM33 juta, kondominium mewah dan tanah bernilai RM24.5 juta, jam tangan mewah RM26 juta, sembilan unit kereta mewah RM7.65 juta serta barangan kemas dan berlian bernilai RM10 juta.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami