SHAH ALAM: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sedang menunggu laporan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum memutuskan sebarang tindakan terhadap kakitangannya yang ditahan bersabit kes meminta dan menerima suapan berhubung pengurusan jenazah.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata setakat ini pihaknya hanya menerima laporan berhubung kes berkenaan yang membabitkan kakitangannya di Hospital Kajang dan Hospital Serdang.

Katanya beliau difahamkan enam kakitangannya ditahan berhubung kes itu, dan pihaknya perlu melihat tindakan lanjut SPRM, sebelum membuat apa-apa ketetapan mengenai mereka.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program townhall meeting (THM) HFMD di Perpustakaan Tun Raja Uda, semalam, yang turut hadiri Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

BACA: Rasuah pengurusan jenazah: SPRM tahan 5 kakitangan hospital

BACA: Lagi kakitangan Hospital Kajang didakwa rasuah pengurusan jenazah

BACA: Minta, terima suapan babit pengurusan jenazah, 4 lagi individu ditahan SPRM

Pada 30 Mei lepas Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan empat kakitangan sebuah hospital kerajaan yang disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya tiga daripada suspek direman di Mahkamah Majistret Shah Alam manakala seorang lagi suspek yang merupakan penolong pegawai perubatan berusia 41 tahun dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Pada 27 Mei lepas, dua pembantu kesihatan masing-masing berusia 40 dan 42 tahun direman lima hari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes sama.

-- BERNAMA