SHAH ALAM: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) senada dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kewujudan amalan rasuah dalam rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan di Malaysia merupakan antara faktor penyumbang utama kenaikan kos sara hidup rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh berkata, perkara itu dibuktikan menerusi satu kertas kerja oleh Coalition for Business Integrity (CBI) yang mengenal pasti proses pembekalan barangan dan perkhidmatan yang mempunyai unsur rasuah akan menyebabkan peningkatkan kos.

Beliau berkata, ekoran kos pengurusan perniagaan yang semakin meningkat, kesannya terpaksa ditanggung oleh rakyat sebagai pengguna akhir.

Menurut beliau, hasil dapatan daripada kertas kerja itu juga mendedahkan bagaimana rasuah memberi kesan kepada kos sara hidup pengguna, melalui penciptaan tekanan menaik ke atas harga barangan dan perkhidmatan pengguna.

"Penyelidikan kolaboratif ini mendapati bagaimana rasuah sistemik bukan suatu yang hanya memberi kesan kepada peringkat tertinggi masyarakat, malah sebenarnya turut memberi kesan negatif kepada kehidupan seharian rakyat melalui inflasi buatan sehingga meningkatkan kos sara hidup.

"Dengan tumpuan pada sektor pembinaan, pendidikan dan penjagaan kesihatan, penyelidikan dilakukan oleh IDEAS dan CBI ini juga mendapati bahawa pemberian habuan adalah satu bentuk rasuah yang paling biasa dalam sektor swasta dan awam.

"Namun begitu, terdapat juga bentuk-bentuk rasuah lain termasuk perbuatan peras ugut, penyelewengan, penipuan, penyalahgunaan budi bicara serta sifat pilih kasih," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CBI, Mark Chay turut sependapat dengan Dr Mahathir dan menegaskan bahawa pelbagai masalah yang dihadapi Malaysia adalah berpunca daripada kekurangan integriti yang berleluasa dalam menguruskan sumber-sumber negara.

Beliau berkata, amalan rasuah dan salah guna kuasa telah mengganggu persaingan sihat, menyekat pembangunan sektor swasta, menyebabkan halangan kemasukan para pelabur asing, menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam serta menghasilkan perbelanjaan kerajaan yang tidak cekap.

Tambah beliau, perbuatan rasuah juga menyumbang kepada tahap inflasi harga yang lebih tinggi serta menekan pendapatan orang ramai, sekali gus menggalakkan lebih banyak rasuah yang membawa kepada kitaran ganas penindasan terhadap rakyat.

"Salah satu sebab punca kos sara hidup naik adalah disebabkan oleh rasuah apabila perkara itu berkait rapat dengan isu kos melaksanakan perniagaan.

"Ini berlaku apabila urusan perniagaan diselitkan dengan keperluan untuk merasuah, malah perbuatan jijik rasuah ini dikira sebagai kos pengurusan perniagaan.

"Semua itu seterusnya dikembalikan dan disalurkan kepada masyarakat atau dikenali sebagai trickle-down effect," katanya.

Pada sidang media selepas menghadiri Forum Usahawan Bumiputera, 'Membina Daya Tahan Ekonomi Bumiputera Dan Cabaran Masa Hadapan' di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Sabtu, Dr Mahathir menegaskan, kos sara hidup di Malaysia meningkat kerana rasuah yang berleluasa.

Menurut Dr Mahathir, apabila setiap urusan diselitkan elemen rasuah, ia menyebabkan harga barang dan perkhidmatan menjadi semakin mahal. - Sinar Harian