KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan tidak akan berkompromi dengan isu rasuah dan mana-mana pihak yang merobek kekayaan rakyat.

Tegas Perdana Menteri, tindakan beliau menyiasat kes-kes yang disyaki mempunyai kaitan dengan penyelewengan bukan kerana dendam politik, sebaliknya demi memastikan tatakelola kerajaan yang baik.

Malah, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengakui terhadap individu yang cuba menghalang siasatan dijalankan, dengan melemparkan tohmahan terhadap kerajaan pimpinannya ketika ini.

"Boleh semak dengan semua agensi penguatkuasaan, mesej yang saya sampaikan sama dalam soal hukum menegakkan negara, membanteras (rasuah) kerana negara ini rosak dan tidak upaya bangkit semula sekiranya kita biar rasuah besar.

"Ada projek ini RM1 bilion, RM500 juta dan kalau kumpul puluh-puluh bilion ini untuk rakyat, pekerja, nelayan atau penjaja kecil. Jadi apa makna bagi seorang tokoh politik atau Perdana Menteri membiarkan puluhan bilion ini dipunggah oleh kalangan tertentu dan kekayaan disimpan di London, New York atau Australia, dan kemudian hidup rakyat keparat ini.

"Saya tidak peduli dan saya tahu ada masalahnya. Saya tahu golongan yang merancang, cuba mengecam, dan cuba menidakkan (termasuk) 'Langkah London' dan sebagainya kerana bimbang seolah-olah kita akan menekan mereka.

"Kalau dia tidak melakukan rasuah, zalim dan memeras rakyat, dia tidak harus bimbang," katanya dalam rancangan Naratif Khas yang disiarkan di RTM pada Khamis malam.

Perdana Menteri menambah, beliau tidak akan mencampuri urusan siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Katanya, sesiapa sahaja tidak kira di pihak kerajaan atau pembangkang, jika didapati terlibat dengan penyelewengan, perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

"Soalnya begini, pihak kanan atau kiri yang kerajaan ataupun pembangkang, kalau ada bukti yang jelas, kalau ada keterangan dan fakta, ambil tindakan.

"Jangan peduli tentang tohmahan kerana orang politik terutamanya berselindung di sebalik kata-kata dan puak-puak mereka, sama ada mereka guna agama Islam atau Melayu," kata Perdana Menteri lagi.

Dalam masa yang sama Perdana Menteri berkata, pihak berkuasa daripada pelbagai agensi telah diarahkan untuk bukan sahaja menyifatkan kes-kes 'ikan bilis', tetapi juga melibatkan pihak atasan.

"Saya beritahu pihak penguakuatkuasaan harus tegas dan rakan saya dalam Jemaah Menteri sedar benar dan setiap minggu saya pesan.

"Saya tidak pertahankan andai kata kesilapan atau bukti tentang amalan memunggah kekayaan," tambah Anwar.