KUALA NERUS: Merawat pesakit di bawah dentuman bom dan bunyi tembakan antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh seorang Pakar Bedah Am dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini sebaik pulang ke tanah air.
Dr Haniif Ahmad Mazian, 42, antara enam pasukan perubatan kecemasan (EMT) Mercy Malaysia yang berada hampir sebulan di Selatan Semenanjung Gaza iaitu di Rafah selepas terkandas sejak tiba di situ pada 1 Mei lalu.
Pasukan tersebut terdiri daripada pakar bedah am, pakar bedah trauma, pakar ortopedik trauma, pakar bius, pakar kecemasan dan seorang pegawai logistik yang ditempatkan di Hospital Pakar Kuwait bagi membantu mangsa perang di wilayah berkenaan.
"Sepanjang berada di sana, kita berdepan dengan bunyi dron yang kedengaran hampir setiap waktu dan juga bunyi letupan bom pada setiap malam.
"Dalam tempoh itu juga kita menerima ramai pesakit dengan pelbagai kesan kecederaan akibat dibom di sana sini. Pernah dalam sehari lebih 90 pesakit datang tanpa henti.
"Dengan kekangan peralatan perubatan, ia tidak menghalang kami untuk terus berusaha semampu yang boleh untuk menyelamatkan mangsa yang dihantar hospital," katanya ketika ditemui pemberita di sini, baru-baru ini.
Bercerita lanjut Dr Haniif berkata, walaupun bertugas di hospital yang dikategorikan berada dalam zon selamat, pergerakan mereka sentiasa diperhatikan kerana dron pengintip Israel sentiasa berlegar di sekeliling hospital.
"Tak dinafikan kami rasa cemas kerana sentiasa diperhatikan, namun kami cuba untuk kekal tenang dan positifkan minda untuk terus fokus dalam merawat pesakit.
"Sepanjang tempoh itu, kami tetap berkhidmat merawat mangsa perang dan akur dengan nasihat diberikan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas faktor keselamatan untuk keluar pada masa yang lebih sesuai," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, angka kematian yang tinggi membabitkan kanak-kanak bukan hanya memberi kesan malah menyuntik keinsafan bahawa hal itu boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa diduga.
"Sebagai doktor, kita sudah biasa melihat kematian misalnya di wad hospital, sehingga kematian itu sendiri sudah tidak lagi memberikan 'peringatan' sedangkan ia sepatutnya memberikan peringatan.
"Tetapi, bila di sana, kita lihat banyaknya kematian berlaku terutama melibatkan kanak-kanak kecil dan ia begitu memberi kesan kerana kematian itu berlaku pada bila-bila masa, tak tunggu sakit.
"Ia sekali gus kembali beri peringatan kepada kita bahawa hidup ini perlu bersedia untuk mati, pada bila-bila masa," ujar beliau.
Bapa kepada tujuh anak itu berkata, kekejaman tentera Israel bukan sahaja kepada orang awam termasuk kaum wanita dan kanak-kanak malah turut menyasarkan petugas perubatan.
"Masih segar dalam ingatan saya, seorang kakitangan di Hospital Pakar Kuwait, tempat di mana saya bertugas turut menjadi mangsa tembakan tentera Israel di hadapan hospital tersebut.
"Kehilangannya amat kami rasai kerana dia begitu rapat ketika kami berada di sana," katanya.
Menurut Dr Haniif, pasukan itu sepatutnya pulang ke Malaysia pada 15 Mei selepas dua minggu berkhidmat namun terkandas hampir dua minggu selepas Israel melakukan serangan mengejut ke atas kem penempatan pelarian di Rafah.
Katanya, mereka dibawa keluar dari zon konflik secara berperingkat bersama-sama dengan petugas antarabangsa yang lain dan selamat pulang ke tanah air pada 30 Mei lalu.
"Saya berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sentiasa mendoakan keselamatan kami sepanjang berada di Gaza.
"Saya harap rakyat Malaysia terus konsisten menyumbang kepada rakyat Palestin untuk pembangunan semula negara itu selepas ini," ujarnya yang kagum terhadap semangat rakyat Palestin yang kini berdepan kehidupan sukar selepas peperangan kembali tercetus sejak 7 Oktober tahun lalu.
Walaupun terperangkap selama dua minggu di Rafah susulan serangan darat yang dilakukan Israel, semangat untuk kembali menabur bakti di bumi Gaza tidak pernah luntur.
"Saya tidak serik sekiranya diminta untuk pergi kali kedua ke Gaza demi membantu umat Islam di sana sekiranya berpeluang dan konflik peperangan sudah berakhir," katanya.
Dalam pada itu, Dr Haniif berkata, terdapat tiga fasa peperangan di mana ia bukan sahaja membunuh mangsa ketika perang itu malah membunuh generasi 10 hingga 20 tahun akan datang.
"Fasa sekarang bantuan amat diperlukan dari segi makanan, perubatan, air bersih dan tempat tinggal.
"Apabila perang sudah berhenti, lebih banyak bantuan diperlukan dari segi sokongan kesihatan mental, pendidikan, untuk bawa anak-anak kecil yang trauma dan pulihkan kembali semangat mereka," katanya.
Kekejaman dilakukan tentera Israel di Gaza telah mengkibatkan kemusnahan berskala besar dengan mengorbankan lebih 37,000 nyawa warga Palestin dan lebih 83,000 lagi tercedera. -Sinar Harian
Sinar Harian
Sun Jun 23 2024
Dr Haniif (tengah) melihat kecederaan yang dialami mangsa perang yang dihantar ke Hospital Pakar Kuwait. -Foto Sinar Harian
Tiga kilang perabot, kotak di Bandar Puncak Alam terbakar
Tiga premis dipercayai kilang perabot dan kotak di Taman Perindustrian Alam Jaya, Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor dilaporkan terbakar malam ini.
Tumpuan Ahad – 15 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Selebriti lelaki ditahan di Cyberjaya, disyaki miliki ganja
Seorang selebriti tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah teres di Cyberjaya, pada Sabtu.
BN dan UMNO tetap rakan setia politik dengan PH
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti itu akan kekal setia sebagai rakan politik bersama Pakatan Harapan (PH) di dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jelas beliau, BN dan juga UMNO juga tidak akan termakan dengan ajakan serta pujukan daripada mana-mana pihak untuk meninggalkan gabungan sedia ada.
Saya dinasihatkan kekal sebagai MB Selangor - Amirudin
Amirudin berkata kestabilan adalah penting untuk kerajaan negeri meneruskan apa yang telah dimulakan, termasuk merangka Rancangan Selangor Kedua yang dijangka siap pada 2026.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 14 Disember 2024.
10 Berita Pilihan - (14 Disember 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Selebriti lelaki ditahan di Cyberjaya, disyaki miliki ganja
Seorang selebriti tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah teres di Cyberjaya, hari ini.
Checkmate! remaja tewaskan juara bertahan dari China
Seorang remaja berusia 18 tahun dari India, Gukesh Dommaraju dinobatkan juara dunia catur termuda selepas menundukkan lawannya dari China yang juga juara bertahan, Ding Liren. Dommaraju menewaskan Liren dalam satu perlawanan dramatik yang berlansung di Singapura.
Saya dinasihat kekal sebagai MB sehingga akhir penggal - Amirudin
Amirudin berkata kestabilan adalah penting untuk kerajaan negeri meneruskan apa yang telah dimulakan.
Rawat pesakit di bawah dentuman bom, bedilan di Rafah
Dr Haniif berkata, walaupun bertugas di hospital yang dikategorikan berada dalam zon selamat, pergerakan mereka sentiasa diperhatikan.