Rayani Air tidak akan mengeluarkan pas masuk pesawat menggunakan tulisan tangan berkuatkuasa serta merta.

Selepas tersebarnya pas masuk tulisan tangan Rayani Air yang menjadi viral di media sosial, syarikat penerbangan patuh Syariah pertama di negara ini, dalam satu kenyataan berkata penumpang hanya akan menerima pas masuk bercetak untuk penerbangan.

"Rayani Air memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas akibat kelewatan dan kekeliruan yang berlaku," kata syarikat penerbangan itu.

Ia berkata pas masuk tulisan tangan yang dikeluarkan kepada penumpang Sabtu lepas adalah sama dengan pas masuk dicetak, dan ditulis di atas kertas thermal rasmi Rayani Air, bahan kertas sama yang digunakan untuk pas masuk normal.

Pas masuk tulisan tangan dikeluarkan selepas penerbangan RN154 dari Kuala Lumpur ke Kuching (KUL-KCH) tergendala dari 11.30 malam pada Jumaat hingga 1:45 pagi Sabtu kerana kebocoran hidraulik yang perlu diperbaiki untuk keselamatan penumpang," kata kenyataan itu.

Ia berkata penerbangan akhirnya berlepas pada 5 pagi hari Sabtu dan "kerana kelewatan, penumpang yang mendaftar masuk di kaunter selepas 12 tengah malam pada 19 Mac 2016 diberi pas masuk manual kerana sistem tidak dapat mencetak pas masuk secara elektronik kerana masalah teknikal.

Ia berkata pas masuk manual dikeluarkan supaya selari dengan bilangan penumpang pada daftar penerbangan.

"Langkah ini perlu untuk menentukan jumlah sebenar penumpang memandangkan beberapa penumpang telah membatalkan penerbangan mereka," kata syarikat penerbangan itu.

Rayani Air berkata, kesemua 127 penumpang Penerbangan RN154 memasuki Balai Berlepas Domestik, KLIA2 dengan kelulusan dan penerbangan yang berlepas pada 5 pagi pada 19 Mac selamat mendarat di Kuching pada 6.45 pagi.

Isnin lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Rayani Air mungkin berdepan penggantungan operasi jika gagal mematuhi peraturan syarikat penerbangan.

Liow berkata kementerian sedang memantau rapi syarikat penerbangan itu berikutan aduan orang ramai mengenai kelewatan dan pembatalan penerbangan serta menggunakan pas masuk tulisan tangan.