KUALA LUMPUR: Seramai 10 individu termasuk yang pernah dipanggil sebelum ini, direkodkan keterangan semula bagi mendapatkan maklumat tambahan susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, tindakan itu sebahagian daripada usaha polis melengkapkan siasatan sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
Beliau berkata, antara individu terbabit pernah dipanggil dan memberikan keterangan sebelum ini, termasuk mereka yang mempunyai kaitan dengan pengurusan serta struktur organisasi TH.
"Kalau kita tengok laporan RCI itu, ada nama-nama disebutkan di situ dan kita boleh agak siapa yang dipanggil," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI selepas menghadiri program Niaga AWANI, di sini, pada Rabu.
Antara individu yang disebut dalam laporan setebal 211 halaman itu ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, serta bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Tan Sri Md Nor Md Yusof.
Turut disebut ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, individu dipanggil terdiri daripada pelbagai peringkat, termasuk kakitangan dalaman, pemegang amanah, ahli lembaga pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO).
"Kita tengok ada yang staf dalaman, ada yang pemegang amanah, ada yang lembaga pengarah, ada CEO, ada CFO," katanya.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan polis memanggil individu lain yang tidak disenaraikan dalam laporan RCI sekiranya terdapat keperluan berdasarkan perkembangan siasatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Rusdi berkata, polis turut memerlukan keterangan daripada 14 saksi di Indonesia yang mempunyai kaitan dengan dua kertas siasatan, khususnya membabitkan urusan pembelian dan penjualan saham serta syarikat berkaitan.
Beliau berkata, pihaknya sudah memohon bantuan melalui mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (MLA) bagi mendapatkan keterangan saksi terbabit.
"Kita memang sudah memohon. Jika mereka boleh datang ke Malaysia, kita akan ambil keterangan.
"Jika mereka tidak boleh datang, kita akan usahakan untuk pergi ke sana atau menggunakan protokol undang-undang yang ada di bawah MLA," katanya.
Jelas beliau, setakat ini 134 saksi sudah direkodkan keterangan, termasuk 10 individu yang dipanggil semula baru-baru ini.
Polis sebelum ini mengesahkan membuka lima kertas siasatan selepas menerima sembilan laporan polis daripada Lembaga Tabung Haji, anak syarikatnya dan orang awam.