PUTRAJAYA: Seorang bekas menteri yang sebelum ini direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH), dibebaskan hari ini dengan jaminan SPRM.
Beliau sebelum ini direman selama lima hari sehingga 6 September lalu sebelum tempoh reman dilanjutkan dua hari lagi sehingga Selasa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.
Beliau ditahan pada 1 September lalu selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi memberikan keterangan.
Penahanan itu berkaitan siasatan membabitkan pajakan hotel di Arab Saudi serta isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 16(a)(a) Akta SPRM 2009, berkaitan kesalahan meminta atau menerima suapan sebagai dorongan atau ganjaran dalam sesuatu urusan.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang terbabit atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, mengikut Seksyen 24 akta sama.
Laporan RCI berkaitan TH yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu memperincikan kelemahan dalam pengurusan dan operasi dana haji berkenaan bagi tempoh antara 2014 hingga 2020.