Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji: Jamil Khir didakwa sebabkan Lembaga TH lupus wang lebih RM860 juta kepada Al-Rawda

https://www.sinarharian.com.my/article/796249/berita/semasa/jamil-khir-didakwa-sebabkan-th-lupus-harta-rm860-3-juta
Jamil Khir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan menyebabkan TH melupuskan harta miliknya mencecah RM860,308,770.51 atau SAR766,062,237 (riyal Saudi), antara 2015 dan 2017. - Foto Sinar Harian
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Jamil Khir Baharom didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) melupuskan wang RM860,308,770.51 atau SAR766,060,237 (Riyal Saudi) milik institusi itu kepada syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek berpangkalan di Arab Saudi Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd (Al-Rawda).

Jamil Khir, 65, yang juga bekas Ahli Parlimen Jerai mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan satu per satu di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, Jamil Khir didakwa sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dengan secara tidak jujur telah menyebabkan Lembaga TH melupuskan harta miliknya, iaitu wang RM42,942,074 bersamaan dengan SAR44.170 juta, RM288,172,134.64 (SAR250,041,622) dan RM529,194,561.87 (SAR471,848,615) kepada Al-Rawda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Aras 9, Blok D7, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 3 April 2015 dan di pejabat sama di Aras 10, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya pada 14 Dis 2016 dan 17 Ogos 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Farah Ezlin Yusop Khan menawarkan jaminan RM1 juta untuk ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

"Jika kita lihat ketiga-tiga pertuduhan di hadapan mahkamah hari ini melibatkan jumlah terkumpul secara keseluruhannya RM860,308,770.51.

"Saya percaya apa yang kami mohon adalah wajar memandangkan ini juga merupakan kes yang sangat berprofil tinggi dan jaminan RM1 juta tersebut serta pasport ditahan ialah langkah yang lebih daripada mencukupi," katanya yang mengendalikan kes bersama-sama TPR Nurul Qistini Qamarul Abrar.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili ahli politik itu bagaimanapun memohon jaminan yang lebih rendah kira-kira RM300,000 untuk kesemua pertuduhan mengambil kira faktor jaminan tidak seharusnya bersifat menghukum.

"Datuk Seri Jamil Khir tidak mempunyai sumber pendapatan lain dan satu-satunya sumber pendapatan yang beliau ada ialah pencen sebagai bekas menteri dan pencen sebagai bekas Mejar Jeneral dalam Angkatan Tentera Malaysia.

"Oleh itu, dalam keadaan ini, kami berhujah bahawa jumlah RM300,000 dengan seorang penjamin serta pasport ditahan mencukupi untuk memastikan kehadiran tertuduh pada bila-bila masa yang diperlukan oleh mahkamah," katanya yang turut dibantu peguam Datuk Hamidi Md Noh.

Hakim Rosli membenarkan Jamil Khir diikat jamin RM300,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, selain menetapkan 5 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, bekas menteri itu ditahan pada 2 Sept ketika hadir untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung pendedahan Laporan RCI TH.

Beliau direman selama tujuh hari bermula dari 2 Sept dan dilepaskan dengan jaminan pada 8 Sept.

Laporan RCI TH didedahkan kepada umum pada 29 Julai, yang merekodkan pelbagai kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, serta menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.

Laporan itu turut menyebut bahawa wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.

Media juga melaporkan TH mencatat kerugian hampir RM13 bilion menerusi 14 pelaburan bermasalah dengan tujuh daripadanya merekodkan kerugian 100 peratus dan daripada jumlah itu, pelaburan TH dengan Al-Rawda merekodkan kerugian terbesar dalam senarai pelaburan berkenaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement