Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji: ‘Parlimen bukan one-man show’ - Syed Saddiq kritik tindakan keluar Dewan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos -- Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika sesi perbahasan penerangan Menteri berkenaan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) melibatkan isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) di Bangunan Parlimen hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Syed Saddiq berkata, laporan RCI berkenaan bukan milik mana-mana Perdana Menteri atau parti politik, sebaliknya melibatkan kepentingan lebih 10 juta pendeposit TH. - Gambar/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengkritik tindakan sebahagian pembangkang memboikot perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) pada Selasa.

Menurutnya, tanggungjawab Ahli Parlimen untuk menjalankan fungsi semak dan imbang tidak seharusnya terhenti hanya kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat menghadiri persidangan berkenaan.

“Parlimen bukanlah one-man show. Yang sakit Perdana Menteri. Tetapi yang tidak buat kerja kita pula.

“Yang dibayar puluhan ribu ringgit, gaji, pencen dan pada masa sama pelbagai elaun, hanya untuk memainkan peranan semak dan imbang. Tetapi kita gagal untuk memainkan peranan tersebut,” katanya ketika berbahas pada Persidangan Khas Dewan Rakyat.

Syed Saddiq berkata, laporan RCI berkenaan bukan milik mana-mana Perdana Menteri atau parti politik, sebaliknya melibatkan kepentingan lebih 10 juta pendeposit TH.

Katanya, wakil rakyat mempunyai tanggungjawab untuk meneliti fakta dan membongkar sebarang salah laku menerusi perbahasan di Dewan.

“Kalau ada fakta, bahas. Kalau ada salah, bongkarkan. Sangat malang sekali kita di pihak pembangkang yang paling lantang membawa nama Melayu Islam memilih untuk memboikot perbahasan mengenai institusi terpenting bagi golongan Melayu Islam.

“Kita bukan memboikot menteri, kita sedang memboikot amanah kita kepada jutaan pendeposit Tabung Haji,” katanya.

Syed Saddiq berkata, atas alasan itu beliau memilih untuk kekal di Dewan dan mengambil bahagian dalam perbahasan menggunakan fakta serta data.

Selain Syed Saddiq, Ahli-Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut kekal mengikuti persidangan dan tidak menyertai tindakan keluar Dewan oleh sebahagian wakil Perikatan Nasional (PN).


 

Must Watch Video

Advertisement