Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji: Polis buka 5 kertas siasatan kes jenayah komersial

KUALA LUMPUR, 18 Ogos -- Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa bercakap pada sidang media Op Khas Kad ATM di Menara KPJ hari ini.  Dalam operasi tersebut, sebanyak 2,924 keping kad ATM pelbagai bank dan wang tunai berjumlah RM119,977 berjaya dirampas.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Rusdi Mohd Isa berkata bagi melengkapkan siasatan, tindakan sedang diambil untuk merakam keterangan saksi dari dalam dan luar negara selain mendapatkan dokumen berkaitan bagi membantu siasatan. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis membuka lima kertas siasatan selepas menerima sembilan laporan daripada Lembaga Tabung Haji (TH), anak syarikatnya dan orang awam berhubung kes jenayah komersial termasuk perkara yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Rusdi Mohd Isa berkata bagi melengkapkan siasatan, tindakan sedang diambil untuk merakam keterangan saksi dari dalam dan luar negara selain mendapatkan dokumen berkaitan bagi membantu siasatan.

"Polis komited untuk memastikan setiap siasatan dijalankan secara bebas, telus, profesional dan berlandaskan undang-undang.

"Mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah akan diambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

"Sebarang kenyataan atau penyebaran maklumat yang tidak berasaskan fakta bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement