SEREMBAN: Kerajaan memutuskan untuk mendedahkan keseluruhan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) secara telus tanpa memotong atau menyembunyikan mana-mana bahagian.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan itu diterbitkan secara penuh bersama semua syor dan proses yang telah berlaku, manakala skop penelitian turut diperluaskan melangkaui tempoh asal laporan bagi melihat perkembangan selepas 2020.
“Kita mahu mengetahui dengan tepat apa yang berlaku selepas tempoh tersebut, termasuk tindakan yang telah diambil oleh pelbagai jawatankuasa serta Lembaga Tabung Haji ketika ini.
“Kita telah ambil keputusan untuk sebarkan keseluruhannya. Tidak ada Perdana Menteri atau JPM (Jabatan Perdana Menteri) yang memotong mana-mana aspek laporan itu,” katanya kepada media selepas solat Jumaat di Masjid Kariah Paroi Jaya, di sini, hari ini.
Anwar antara lain berkata, laporan RCI itu sendiri merangkumi perkembangan sejak 2014, ketika Bank Negara Malaysia (BNM) pertama kali mengeluarkan amaran awal.
“Kemudian terdapat satu lagi amaran pada 2017. Siasatan itu meliputi tempoh berkenaan, tetapi kita juga telah meminta supaya penelitian turut merangkumi perkembangan selepas itu.
“Saya fikir adalah lebih baik umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia diberi peluang untuk melihat gambaran keseluruhan.
“Perkara paling penting adalah ia menjadi pengajaran,” ujar beliau.
Pada masa sama, Anwar menegaskan mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab perlu melalui proses siasatan dan pendakwaan mengikut lunas undang-undang.
“Tapi sementara itu, yang bertanggungjawab mesti disiasat dan didakwa jika perlu dan ikut proses pendakwaan,” katanya.
Krisis kewangan TH yang bermula dengan isu ketidakpadanan aset dan liabiliti membawa kepada pelaksanaan pelan pemulihan berskala besar, sebelum disusuli penubuhan RCI bagi menyiasat isu-isu berbangkit bagi tempoh 2014 hingga 2020.