KUALA LUMPUR: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyokong titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) disiasat secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasan Bahrom berkata, titah itu perlu diterjemahkan kepada tindakan yang jelas dan dapatan RCI tidak seharusnya sekadar diketahui umum.
Menurutnya, setiap kelemahan yang dikenal pasti perlu diperbaiki, manakala sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut proses yang ditetapkan.
“Wang yang diurus TH adalah simpanan umat Islam yang dikumpulkan untuk satu tujuan besar, iaitu menunaikan ibadah haji.
“Justeru, pengurusan dana tersebut perlu sentiasa berada di bawah tadbir urus yang jelas, kawalan yang berkesan dan pematuhan syariah,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.
YADIM turut menyokong pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan supaya dapatan RCI dijadikan asas kepada penambahbaikan tadbir urus TH.
Hasan berkata, ketelusan perlu bergerak seiring dengan pertanggungjawaban bagi memastikan amanah serta kepentingan rakyat dalam sesebuah institusi terus terpelihara.
Pada masa sama, YADIM berharap proses susulan terhadap laporan RCI dilaksanakan secara profesional, berasaskan fakta dan lunas undang-undang tanpa menjadikan isu berkenaan sebagai ruang untuk kepentingan politik atau tuduhan tidak berasas.
Katanya, perkara lebih penting selepas laporan itu didedahkan kepada umum adalah tindakan yang diambil susulan daripada dapatan berkenaan.
Justeru, YADIM mahu sebarang dapatan yang terbukti diberikan tindakan sewajarnya selain kelemahan dikenal pasti diperbaiki bagi memastikan kepercayaan umat Islam terhadap TH terus terpelihara.
Untuk rekod, laporan RCI mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 telah didedahkan kepada umum pada 29 Julai 2026 selepas kerajaan memutuskan untuk menyahklasifikasikannya daripada Akta Rahsia Rasmi 1972.
Laporan berkenaan antara lain mengetengahkan kelemahan dalam aspek pengurusan dan tadbir urus TH sepanjang tempoh yang disiasat serta mengesyorkan beberapa langkah penambahbaikan dan tindakan susulan.