Saksi ke-17 pada hari keenam sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian Perlis pada tahun 2015 menjelaskan pihaknya berjaya memberkas lima individu termasuk warga Thailand ketika membuat tinjauan di Genting Perah, Perlis.

Saksi Inspektor Mohamad Afiq Sarmid yang bertugas sebagai Ketua Platun 8 Pasukan VAT 69 pada 2015 berkata kejadian yang berlaku kira-kira jam 2 pagi pada 11 Mac, 2015 berkenaan berjaya dilakukan selepas dua hari perjalanan ke lokasi kejadian.

“Pemeriksaan terhadap suspek, kami dapati salah seorang daripada mereka membawa sepucuk pistol dan seorang lagi membawa sebilah pisau.” Jelasnya ketika memberi keterangan

Bagaimanapun selepas tangkapan itu,beliau menghubungi Pegawai Pemerintah Markas Taktikal dan diberi arahan untuk berundur secara taktikal bagi faktor keselamatan.

Tambah saksi ke 17 itu, beliau mendapat arahan untuk menyerahkan kesemua suspek yang ditahan kepada anggota Cawangan Khas bagi tindakan lanjut.

Namun ketika ditanya Timbalan Pengerusi Panel, Tan Sri Norian Mai sama ada sepanjang operasi pengeledahan dilakukan di Genting Perah membawa kepada sebarang penemuan kem.

Jelas Mohamad Afiq, pasukannya dianggotai 25 anggota itu berjaya menjumpai 14 rangka khemah dipercayai digunakan oleh Pendatang Tanpa Izin kira kira 100 meter daripada sempadan.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dihadapan tujuh Panel Suruhanjaya itu yang diketuai Bekas Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.