KUALA LUMPUR: Masyarakat di negara ini yang tidak mempunyai kelayakan akademik konvensional disaran merebut peluang keemasan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi menerusi laluan Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL).

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran, berkata inisiatif yang disediakan pihaknya itu memberikan pilihan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kelayakan akademik individu.

"Calon hanya perlu memohon menggunakan pengalaman lampau untuk memohon menggunakan laluan APEL sama ada APEL.A (akses ke institusi pengajian tinggi) atau APEL.C (anugerah kredit berdasarkan pengalaman terkumpul untuk mendapatkan pemindahan kredit untuk kursus dalam program).

"Terbaharu, MQA memperkenalkan APEL.Q yang mengiktiraf pembelajaran individu melalui pengalaman sebelumnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai inisiatif MQA dalam menyemarakkan agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) menerusi laluan APEL.

Pada Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan sijil kepada dua calon yang telah berjaya melepasi penilaian APEL.A.

Turut hadir meyaksikan acara itu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Mohd Zabri Yusoff dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Husaini Omar.

Calon pertama, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Normelati Ali hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (tiada diploma) berjaya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dengan menggunakan laluan APEL.A.

Normelati yang mempunyai 12 tahun perkhidmatan mengikuti Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Calon kedua, ASP Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Cawangan Gerakan JKDNKA, PDRM Bukit Aman, ASP Mohd Aswad Md Saad yang memiliki diploma (tiada ijazah sarjana muda) berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dengan menggunakan laluan APEL.A.

Dengan 17 tahun pengalaman dalam perkhidmatan, Mohd Aswad kini mengikuti Sarjana Pengurusan Perniagaan di Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC).

Mengulas mengenai penyampaian sijil itu, Mohammad Shatar berkata, acara itu cukup bersejarah dan membuktikan KPT menerusi MQA sangat menggalakkan PSH dengan membuka peluang seluas-luasnya kepada masyarakat di negara ini untuk meningkatkan kelayakan akademik.