MALAYSIA
Reformasi institusi: Perkukuh peranan jawatankuasa Parlimen, kawal selia ketat DPA - Syed Ibrahim

Syed Ibrahim berkata, penambahbaikan sistem jawatankuasa sedia ada wajar menjadi keutamaan serta sebahagian daripada agenda reformasi institusi yang kritikal. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, menggesa peluasan cadangan reformasi institusi dengan penekanan kepada pengukuhan peranan jawatankuasa Parlimen dan pelaksanaan perjanjian pendakwaan tertangguh (DPA) yang lebih telus serta berintegriti.
Ringkasan AI
- Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh menggesa peluasan reformasi institusi dengan penekanan kepada pengukuhan peranan jawatankuasa Parlimen dan pelaksanaan perjanjian pendakwaan tertangguh (DPA) yang lebih telus dan berintegriti.
- Beliau mencadangkan agar setiap portfolio menteri dan institusi awam berada di bawah pengawasan jawatankuasa Parlimen, dengan kuasa tambahan seperti memanggil saksi, mengeluarkan sepina dan menjalankan siasatan awam.
- Syed Ibrahim turut menekankan keperluan kawal selia ketat terhadap DPA agar tidak disalah guna, serta mencadangkan penggubalan akta khas berkaitan DPA yang merangkumi kelulusan kehakiman dan pelaporan tahunan.
“Setiap portfolio menteri dan institusi awam utama, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mesti berada di bawah bidang kuasa sekurang-kurangnya satu jawatankuasa. Untuk itu, bilangan jawatankuasa perlu ditambah,” katanya pada sidang media oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia-Integriti, Governans dan Anti-Rasuah (KRPPM-IGAR) di Parlimen pada Khamis.
Antara cadangan lain ialah rujukan automatik bagi semua rang undang-undang selepas bacaan pertama, supaya penelitian jawatankuasa tidak boleh dipintas. Syed Ibrahim turut menekankan bahawa laporan jawatankuasa perlu dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat serta direkodkan secara rasmi.
Mandat jawatankuasa juga, katanya, perlu diperluas dengan kuasa meneliti anggaran belanjawan tahunan, memanggil saksi, mengeluarkan sepina, memulakan tindakan menghina Dewan serta menjalankan siasatan berbentuk hibrid atau awam.
Beliau yang juga Pengerusi KRPPM-IGAR turut menyentuh cadangan memperkenalkan DPA melalui pindaan Akta SPRM menjelang 2026, namun menegaskan bahawa mekanisme itu mesti disertakan kawal selia yang ketat agar tidak disalah guna.
“DPA tidak boleh menjadi persepsi bayar untuk bebas atau dijadikan alat melindungi pesalah. Syarikat yang terlibat perlu membuat pengakuan salah secara rasmi, manakala individu yang bersalah tidak boleh terlepas daripada pendakwaan,” katanya.
Syed Ibrahim turut mencadangkan pelaksanaan DPA dibuat secara telus dengan pengawasan kehakiman, senarai awam perjanjian serta laporan tahunan.
Beliau menegaskan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu dipisahkan bagi mengelakkan konflik kepentingan, sementara proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu diperkuatkan agar benar-benar bebas daripada pengaruh politik.
“Adalah lebih baik satu akta khas berkaitan DPA digubal, dengan peruntukan jelas mengenai kelulusan kehakiman, daftar awam dan pelaporan tahunan, berbanding hanya bergantung pada pindaan beransur terhadap Akta SPRM,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami