JELI: Seorang remaja berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas  keluar dari rumah pada petang Rabu lepas.

Menurut ibunya, Siti Noor Mustapa, 47 tahun, anak ketiganya itu dikenali sebagai Ahmad Darwish Daniel, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli.

Siti Noor berkata, anaknya dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas menyertai sesi latihan kawad kaki pada petang Rabu di sekolahnya.

"Anak saya tiada masalah dengan saya atau ayahnya atau adik beradik lain, dia anak yang tiada perangai.

"Namun Selasa lepas, Ahmad Darwish ada memaklumkan mempunyai masalah di sekolah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

"Ahmad Darwish pernah menjadi pengawas sekolah dan beliau sering dibuli oleh pelajar senior," jelasnya lagi.

Siti Noor berkata, anaknya itu juga ada memaklumkan berkaitan surat disiplin yang dikeluarkan cikgu kepadanya namun ianya tidak membabitkan kes yang serius.

Beliau juga sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli pagi Sabtu.

"Saya dan keluarga serta rakan-rakan sekolahnya telah mencari hampir serata Jeli, kehilangannya juga sudah ditularkan, bahkan ramai yang membantu mencarinya, namun hingga saat ini tiada khabar berita," tambahnya.

Ayah tirinya merupakan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Jeli yang turut menjalankan pencarian di segenap tempat, namun tidak menjumpainya.

Orang ramai  yang menjumpai remaja berkenaan, boleh menghubunginya di talian 012 2428619 / 01161027678 atau mana-mana balai polis berdekatan.