ALOR GAJAH: Seorang wanita berputih mata apabila wang simpanannya di Tabung Haji berjumlah RM25,000 lesap selepas ditipu oleh anaknya sendiri berusia 15 tahun yang mendakwa kononnya dia ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, tindakan remaja lelaki itu bersama dua rakannya yang berusia 17 dan 29 tahun terbongkar selepas ibunya yang berusia 58 tahun dan bekerja sebagai pembantu klinik membuat semakan polis, dalam kejadian pada November lalu.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa mendapati anak tunggalnya itu tidak pulang ke rumah beberapa hari sebelum dia berjumpa rakan anaknya yang berusia 17 tahun dan diberitahu kononnya remaja berkenaan telah ditahan di Balai Polis Seremban, Negeri Sembilan.

“Remaja itu kemudian menyatakan bahawa anak pengadu telah ditahan dan memerlukan wang sebanyak RM25,000 untuk dibebaskan sebelum mangsa pergi ke Tabung Haji dan mengeluarkan wang berkenaan.

“Wanita itu kemudian menyerahkan wang tersebut secara tunai kepada rakan anaknya itu dan dalam kejadian ini seorang lagi lelaki berusia 29 tahun yang juga rakan kepada kedua-dua remaja ini telah terlibat dan memainkan peranan menyamar sebagai anggota polis,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, selepas penyerahan wang dibuat, anak mangsa kemudian telah pulang ke rumah.

Beliau berkata, bagaimanapun beberapa hari kemudian mangsa telah membuat semakan di balai polis melalui adik iparnya dan mendapati tiada sebarang tangkapan dibuat ke atas anaknya itu.

“Dalam perkara ini mangsa mengesyaki dirinya telah ditipu oleh rakan anak dan telah membuat laporan polis pada 2 Disember 2023.

“Pihak polis kemudian telah menahan ketiga-tiga suspek (termasuk anak mangsa) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama,”ujarnya.

Tambahnya ketiga-tiga suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada esok.