Skip to main content

Malaysia

Remaja 16 tahun hilang ketika cari ketam ditemukan lemas

[TB]_Remaja ditemukan lemas_JBPM MELAKA
Mayat Muhammad Arif Daniel ditemukan nelayan berhampiran perairan Pulau Upeh kira-kira 7.20 malam. - Foto JBPM Melaka
Advertisement

MELAKA: Remaja lelaki berusia 16 tahun yang dikhuatiri lemas ketika mencari ketam di kawasan tambak laut berhampiran Pantai Klebang di sini, pada Rabu, ditemukan petang semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Shahrom Laji berkata mayat Muhammad Arif Daniel Nizamuddin ditemukan nelayan berhampiran perairan Pulau Upeh kira-kira 7.20 malam.

Beliau berkata lokasi penemuan itu kira-kira dua batu nautika dari daratan dan pasukan bomba digerakkan ke kawasan berkenaan untuk mengambil mayat mangsa.

"Pengecaman mayat mangsa dilakukan oleh waris kira-kira 8.30 malam sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Halim Abas ketika dihubungi turut mengesahkan penemuan mayat mangsa.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka dan bedah siasat dijangka dijalankan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Arif Daniel, yang juga anak bongsu daripada dua beradik dan pelajar institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dikhuatiri lemas ketika mencari ketam di kawasan tambak laut berhampiran Pantai Klebang, kira-kira 3 petang Rabu.

Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai terjerlus ke kawasan lebih dalam atau ditarik ombak sebelum hilang.

Berdasarkan maklumat awal, mangsa bersama seorang rakannya pergi ke kawasan berkenaan untuk mencari ketam sebelum dia dipercayai berenang ke tengah laut dan ditarik ombak.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement