Skip to main content

Malaysia

Remaja 16 tahun jatuh sungai, dikhuatiri lemas

Sumber: JBPM Sarawak
Pasukan operasi membuat pencarian di sekitar tebing sungai sebelum operasi ditangguhkan pada jam 6.43 petang semalam atas faktor persekitaran yang semakin gelap. - Foto JBPM Sarawak

KUCHING: Seorang remaja dikhuatiri lemas selepas terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras sungai di Kampung Kolong Sungai Tengah, dekat sini petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Mohamad Fauzi Mohamat Kifli berkata, pihaknya dimaklumkan tentang insiden tersebut sekitar jam 4.32 petang dan mengatur gerak sebuah jentera dengan kekuatan sembilan anggota ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya.

"Berdasarkan maklumat saksi, ketika kejadian sekitar jam 4.00 petang, mangsa yang identitinya dikenal pasti sebagai Fahrell Zaquan Hasbullah, 16 tahun, dan seorang rakan sedang bermain di tebing sungai sebelum terjatuh ke dalam sungai dan hanyut dibawa arus air yang deras.

"Mangsa dikatakan tidak berbaju, hanya berseluar panjang berwarna putih," kata Mohamad Fauzi.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya membuat pencarian di sekitar tebing sungai, sebelum operasi ditangguhkan pada jam 6.43 petang, atas faktor persekitaran yang semakin gelap.

Operasi mencari dan menyelamat akan bersambung pagi ini.

 

Advertisement

Must Watch Video