AYER KEROH: Remaja lelaki berusia 14 tahun yang dipercayai mencekik adiknya sehingga maut dalam kejadian di Kampung Bukit Piatu, di sini, awal bulan ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Tertuduh yang juga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah berasrama bagaimanapun hanya menunduk faham sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan terhadapnya, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kematian terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang juga adik kandungnya.

Kesalahan itu dilakukan antara pukul 11.30 pagi hingga 12.35 tengah hari di sebuah rumah bernombor, di Kampung Bukit Piatu dalam daerah Melaka Tengah pada 5 Julai 2023 lalu.

Sabit kesalahan tertuduh yang menjalani prosiding dengan ditemani kedua ibu bapanya, berdepan hukuman mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian memerintahkan remaja itu dihantar ke Hospital Permai di Tampoi, Johor untuk pemeriksaan psikiatri, dan menetapkan 22 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas dipercayai dicekik di rumah mereka di Kampung Bukit Piatu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, insiden malang menimpa kanak-kanak berkenaan disedari oleh ibunya menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Mangsa kemudian dijumpai dalam keadaan terbaring di ruang tamu dengan kesan kecederaan di bahagian muka, hidung dan leher oleh jirannya.