PADANG BESAR: Seorang remaja ditahan ketika cuba menyeludup daun ketum ke Thailand dengan memandu sendiri pikap.

Cubaan pertama remaja lelaki berusia 16 tahun itu gagal selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Perlis berjaya membongkar kegiatannya itu selepas ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Keselamatan dan Kuarantin (ICQs) Wang Kelian, Khamis lalu.

Pengarah Kastam Negeri Perlis, Ismail Hashim berkata, kejadian berlaku pada jam 11 pagi apabila sepasukan anggota JKDM Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar ternampak kenderaan pikap itu sedang cuba melalui laluan keluar kompleks itu menuju ke Thailand.

“Pemeriksaan kita terhadap sebuah kenderaan pikap jenis Isuzu D-Max RZAE-TC bernombor pendaftaran Thailand mendapati terdapat seorang remaja tempatan sedang memandu pikap itu dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila diperiksa ternyata remaja itu berusia 16 tahun berasal dari Wang Kelian itu masih lagi bersekolah tetapi tidak mempunyai lesen memandu dan pemeriksaan selanjutnya pada pikap itu kemudian menjumpai beberapa bungkusan berisi daun ketum yang disembunyikan di tiga bahagian yang diubah suai pada pikap itu.

“Kita menjumpai bungkusan daun ketum disembunyikan di satu ruang kosong enjin bonet hadapan, bahagian bawah kerusi penumpang belakang yang diubah suai dan ruang tersembunyi bahagian belakang pikap itu dimana jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak 230 kilogram (kg) bernilai sekitar RM2,300,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM Padang Besar, di sini, pada Selasa.

Beberapa bungkusan berisi daun ketum disembunyikan di tiga bahagian yang diubah suai pada pikap ini.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mendakwa melakukan kerja berkenaan secara sambilan dan menerima upah daripada sindiket penyeludupan sekitar RM10 untuk membawa bekalan daun ketum dipercayai dari kawasan Wang Kelian hingga melepasi sempadan Malaysia-Thailand di Wang Prachan, Thailand.

“Disebabkan itu, jika kita lihat pikap ini pun diubah suai bahagian belakang yang turut merangkumi tangki simpanan minyaknya di mana remaja ini tidak akan memandu dalam radius jauh untuk menyeludup masuk bekalan daun ketum itu.

“Bekalan daun ketum ini juga dipercayai diperoleh dari Naka, Kedah dan apabila suspek sudah berjaya melepasi sempadan Malaysia-Thailand di negara jiran itu akan ada anggota sindiket penyeludupan yang lain menyambung tugasan penyeludupan itu dengan memindahkan bekalan daun ketum itu ke kenderaan lain

“Disebabkan keadaan penanaman ketum di negara jiran tidak begitu menjadi pada waktu ini maka kita percaya daun ketum dari negara ini pula kembali mendapat permintaan dan meningkat,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan JKDM sebanyak RM10,000 yang dibayar oleh bapa saudaranya.

Keseluruhan rampasan daun ketum termasuk kenderaan pikap yang disita dianggarkan bernilai RM110,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta yang sama di mana memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.