SIK: Polis menahan seorang remaja lelaki kerana menunggang motosikal dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu, dalam Operasi Lejang di Jalan Pasir Puteh, di sini petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman berkata, lelaki yang itu menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 didapati menggunakan nombor pendaftaran #playercutoff @_.hamiezan di bahagian belakang motosikalnya.

“Hasil sisatan lelaki berusia 19 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai itu kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sik, untuk tindakan lanjut.

"Hasil pemeriksaan terhadap nombor enjin dan nombor casis mendapati nombor itu didaftarkan atas sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 pemilik lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Abdul Razak memaklumkan ekoran itu, lelaki yang berasal dari Sik itu ditahan mengikut Seksyen 108 (3)(F) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu pemalsuan nombor pendaftaran.

Abdull Razak berkata, kes juga disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi keterangan terhadap nombor pendaftaran bertulis.

Katanya, sepanjang operasi itu, sebanyak 123 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan yang dilakukan termasuklah aksesori (13), tiada lesen (7), bawah umur (10), cermin sisi (18), cukai jalan tamat tempoh (11), tidak mempamerkan cukai jalan (1), nombor pendaftaran (25), topi keledar (16), insuran (9), gagal Menunjuk lesen (1), ubahsuai (8) speedometer rosak (2) dan ekzos (2)," katanya.

Abdull Razak berkata, daripada jumlah itu, 13 motosikal pelbagai jenis disita mengikut Seksyen 64 APJ 1987.

Beliau berkata, kesemua mereka yang disaman berusia antara 13 hingga 25 tahun dan operasi yang bermula jam 4 petang itu berakhir jam 8 malam tadi.