ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki autisme yang hilang selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Kepala Batas dekat Jitra, semalam ditemui dalam keadaan selamat, pagi ini.
Wan Mukhlish Wan Mohammad, 17, pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi ditemui oleh seorang pengawal keselamatan di sebuah rumah kosong di kawasan perumahan baharu kira-kira 1.5 kilometer dari rumahnya pada 7.20 pagi.
Ibu mangsa Fitriyah Mat Rejab, 48, berkata sebelum itu, dia keluar mencari anak sulungnya dengan menaiki kereta pada 6.20 pagi di sekitar kawasan rumahnya dan perumahan baharu berkenaan.
“Saya meronda di beberapa tempat dan apabila sampai di kawasan perumahan baharu itu, seorang pengawal keselamatan yang menaiki motosikal datang memaklumkan menemui anak saya.
“Kemudian seorang lagi pengawal keselamatan membawa anak saya dengan menaiki motosikal, selain meminjamkan jaket kepadanya kerana semasa keluar dari rumah dia tidak memakai baju dan hanya berseluar pendek,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Dia bersyukur anaknya ditemui dalam keadaan sihat dan selamat, cuma terdapat beberapa kesan gigitan nyamuk pada badannya.
“Ini bukan kali pertama dia keluar dari rumah secara senyap tetapi sebelum ini saya, suami dan gurunya perasan,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata mangsa ditemui di sebuah rumah kosong yang belum siap dibina.
“Mangsa dipercayai keluar dari rumah, sebelum tumpang berteduh di rumah kosong berkenaan kerana hujan,” katanya.
-- BERNAMA