NATIONAL
Remaja lelaki didakwa cuba bunuh bekas teman wanita

Tertuduh didakwa cuba membunuh remaja wanita berusia 19 tahun dengan menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan.
SUNGAI PETANI: Seorang remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan cuba membunuh penuntut perempuan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) pada 17 Mac lalu.
Ringkasan AI
- Remaja lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba membunuh penuntut perempuan IPT pada 17 Mac lalu dengan menggunakan pisau sehingga menyebabkan kecederaan.
- Kes dikendalikan di Mahkamah Sesyen dengan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau 20 tahun jika menyebabkan cedera parah.
- Mangsa diserang oleh bekas teman lelaki semasa berjalan ke perpustakaan dan mengalami kecederaan parah, manakala suspek ditahan selepas mendapatkan rawatan kecederaan pada tangannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 10 pagi, 17 Mac lalu dihadapan tandas tingkat 1, AIMST University di Semeling, Bedong dekat sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera parah dia boleh dipenjarakan selama 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan manakala tertuduh diwakili peguam Ashokkumar.
Turut hadir sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa ialah Ranjit Singh Sandhu.
Wan Muhammad Fitri tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh berikutan kes melibatkan kejadian serius dan jika mahkamah membenarkan jaminan, syarat tambahan perlu dikenakan iaitu dia tidak boleh mengganggu mangsa, perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat sebulan sekali dan pasportnya ditahan.
Bagaimana Ashokkumar memohon mahkamah membenarkan jaminan kerana tertuduh merupakan seorang pelajar yang akan berada dalam tahanan yang lama dan bersedia mengikut syarat tambahan yang dikenakan.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Sebelum ini Astro AWANI melapurkan seorang penuntut peremuan sebuah IPT mengalami kecederaan parah selepas ditikam berkali-kali dalam kejadian di kampus berkenaan pada jam 9.30 pagi 17 Mac lalu.
Mangsa diserang remaja lelaki terbabit yang merupakan bekas teman lelakinya semasa berjalan ke perpustakaan bersama beberapa rakannya.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) manakala suspek ditahan semasa mendapatkan rawatan kecederaan pada tangannya di klinik kesihatan di kampus berkenaan sejurus kejadian.
Suspek dikatakan bertindak demikian kerana berang selepas teman wanitanya memutuskan hubungan mereka.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami