SEBUYAU: Seorang remaja ditemui maut selepas disambar seekor buaya, di Sungai Plaie, di sini, pada Rabu.
Saksi kejadian, Bidin Ibrahim berkata, mangsa yang identitinya dikenal pasti sebagai Mohd Nordin Mohd Othman, 13, dikatakan sedang memunggah buah sawit ke dalam perahu sekitar jam 5.30 petang pada Isnin.
Secara tiba-tiba katanya, seekor buaya muncul dari dasar sungai, menyambar bahagian kiri belakang, sebelum menarik mangsa ke dalam sungai.
Bidin yang juga bapa saudara yang tinggal berjiran dengan mangsa, segera memaklumkan kejadian tersebut kepada keluarga yang lain.
Laporan polis kemudian dibuat dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pada semalam, membabitkan pelbagai agensi penyelamat dan penduduk kampung.
Sekitar jam 8 malam, selepas lebih tiga jam operasi SAR ditangguhkan, mangsa telah ditemui oleh penduduk kampung di hulu sungai, kira-kira 800 meter dari jeti kampung.
Terdahulu, sekitar jam 6 petang, sekumpulan penduduk kampung jiran yang secara kebetulan pulang daripada menziarahi keluarga mangsa, telah terserempak dengan seekor buaya dengan kelibat mangsa di mulutnya.
Mereka kemudian memaklumkan kepada penduduk kampung, yang kemudian kembali ke sungai untuk melakukan pencarian besar-besaran, dan berjaya menemui mangsa.
Polis Simunjan ketika mengesahkan penemuan berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Simunjan sekitar jam 1.30 pagi untuk proses bedah siasat.
Ketika ditemui katanya, keadaan mangsa tidak sempurna, dan terdapat tanda gigitan binatang buas.
Untuk rekod, kajian Perbadanan Perhutanan Sarawak pada April lalu, mengesahkan kawasan tersebut memiliki populasi buaya yang banyak.