NATIONAL
Remaja mengaku tidak bersalah sunting gambar lucah pelajar perempuan guna AI

Tertuduh yang memakai T-shirt putih dan berseluar hitam dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai hari ini.
KULAI: Seorang pelajar Tingkatan Empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menyunting gambar remaja berusia 17 tahun menggunakan kecerdasan buatan (AI), serta memiliki bahan lucah.
Tertuduh yang berusia 16 tahun didakwa menghasilkan bahan penganiayaan seksual remaja perempuan dengan cara menyunting gambar menjadi gambar lucah, di Taman Indahpura di sini pada jam 12.40 tengah hari, 9 April lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman dilepaskan dengan amaran 'bon berkelakuan baik, membayar denda, khidmat masyarakat, dihantar ke sekolah diluluskan atau dihantar ke sekolah Henry Gurney.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret, R Salini dalam prosiding secara tertutup.Bagi satu lagi pertuduhan, remaja berkenaan mengaku bersalah memiliki bahan lucah dalam telefon bimbitnya.
Mengikut pertuduhan itu, dia didakwa memiliki 14 keping gambar lucah dalam telefon bimbitnya di lokasi yang sama pada jam 5.28 petang, 8 April lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 23 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya manakala tertuduh diwakili peguam, T C Lim.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami