GEORGE TOWN: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 6.45 petang semalam, selepas mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tingkat 8 bangunan berkenaan.
Advertisement
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di tingkat 16 sebelum terhempas ke tingkat 8 sekitar jam 5.49 petang. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian serta ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang bagi tujuan bedah siasat untuk menentukan punca kematian.