MALAYSIA
Remaja serah barang kemas milik ibu kepada 'scammer'

Md Sani berkata remaja berusia 18 tahun yang sedang menunggu panggilan untuk menyambung pengajian itu membuat laporan polis pada Sabtu lepas mendakwa ditipu oleh individu tidak dikenali. - Gambar hiasan/Astro AWANI
JERTIH: Seorang remaja perempuan sanggup menyerahkan barang kemas milik ibunya bernilai RM140,000 kepada individu tidak dikenali setelah terperdaya sindiket 'phone scam' yang menyamar sebagai anggota penguat kuasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Md Sani Md Salleh berkata remaja berusia 18 tahun yang sedang menunggu panggilan untuk menyambung pengajian itu membuat laporan polis pada Sabtu lepas mendakwa ditipu oleh individu tidak dikenali.
"Mangsa telah menerima panggilan telefon daripada tiga individu yang memperkenalkan diri kononnya sebagai wakil ibu pejabat Touch 'n Go dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak pada 1 Julai lepas.
"Individu terbabit mendakwa ada pihak tertentu telah menyalahgunakan maklumat peribadi milik mangsa selain mangsa turut dituduh terlibat dengan kes penipuan dan penggubahan wang haram," katanya dalam kenyataan hari ini.Mangsa yang ketakutan dan bimbang akan ditangkap bertindak menyerahkan barang kemas milik ibunya kepada seorang wanita (suspek) yang tidak dikenali dalam pertemuan di sebuah pasar raya di bandar Jertih pada keesokan hari (2 Julai).
Md Sani berkata suspek berjanji untuk memulangkan semula barang kemas itu pada hari sama tetapi selepas itu mangsa diberitahu kononnya barang kemas berkenaan telah disimpan oleh Unit Forensik Polis Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut.
"Mangsa kemudian diberi syarat perlu membayar jaminan sebanyak RM28,000 jika ingin mengambil barang kemas berkenaan, namun mangsa terus membuat laporan polis apabila menyedari telah ditipu," katanya.
Susulan itu, polis menahan seorang wanita berusia 37 tahun di sekitar Kuala Besut semalam dan dia telah ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami