KOTA BHARU: Reman ke atas bapa sepupu kepada kanak-kanak berusia empat tahun yang tertelan dadah jenis metaphitamine dilanjutkan selama lima hari lagi bermula hari ini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun menjelaskan permohonan lanjutan reman itu bagi membolehkan siasatan diteruskan.

Jelas Muhamad Zaki lagi, keadaan kanak kanak itu masih lagi lemah dan sedang mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

“Masih lagi dalam rawatan. Mangsa masih berada di Hospital Ismail Petra Kuala Krai dan masih memerlukan bantuan penafasan,.

“Dia (bagaimanapun) tunjuk respons yang baik dan hari ini masih lagi sambung reman suspek dapat lima hari. Siasatan ini kita nak buat secara menyeluruh kerana kita nak tengok psikologi kanak-kanak dan kanak -anak ini tak dapat bercakap dengan baik,” katanya di sini hari ini.

BACA: Budak 3 tahun telan dadah masih kritikal, terpaksa ditidurkan - Ibu

Muhamad Zaki berkata demikian di sidang media mengumumkan kejayaan tangkapan dan rampasan dadah melalui Ops Tapis Khas di Ibupejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Suspek yang berusia 32 tahun sebelum ini direman selama tujuh hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Selain akta berkenaan, pihak polis juga turut membuka siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 39 (c) iaitu penagihan berulang yang memperuntukkan hukuman lebih berat.

Suspek mungkin akan dikenakan tiga pertuduhan dan pertuduhan dijangka dapat dilakukan minggu ini.

Sebelum ini dilaporkan seorang kanak kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan tertelan dadah dalam satu kejadian di Dabong, Kuala Krai pada 19 Jun lepas.