AMPANG JAYA: Tempoh reman ke atas pasangan suami isteri yang ditahan berhubung kejadian letupan melibatkan seorang tukang masak maut di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah dua minggu lalu, dilanjutkan tujuh hari lagi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lanjutan tahanan reman sehingga 17 Januari depan terhadap kedua-dua suspek itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang Jaya, pada Selasa.

"Polis membuat permohonan lanjutan tempoh reman itu bagi membantu siasatan lanjut ke atas pasangan itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Menurut Mohamad Farouk, reman ke atas pasangan suami isteri berusia 30 dan 33 tahun itu tamat pada Selasa.

Pasangan itu diberkas di sebuah taman perumahan di Taman Serdang, Kedah pada 3 Januari lalu.

Setakat ini kejadian berkenaan dipercayai bermotifkan rasa cemburu suspek lelaki terhadap mangsa.

Pada 29 Disember lalu, media melaporkan mangsa berusia 28 tahun maut selepas satu bungkusan yang diletakkan di atas bonet keretanya meletup dalam kejadian di hadapan sebuah restoran yang merupakan tempat kerjanya.

Siasatan awal mendapati mangsa telah melihat satu bungkusan berada di bonet keretanya jenis Toyota Corolla Altis dan memegangnya sebelum meletup.

Letupan itu mengakibatkan mangsa parah di badan dan tangan sebelum dikejarkan oleh orang awam ke Hospital Ampang dan mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 malam ketika sedang menerima rawatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.