KUALA TERENGGANU: Reman terhadap tiga ahli keluarga angkat yang disyaki mendera kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sehingga maut di Kampung Banggol Katong di sini, disambung enam hari bermula esok.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor semasa dihubungi berkata perintah reman sehingga 25 April dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi tadi, selepas tempoh reman asal berakhir hari ini.
Advertisement
Pada Selasa lepas, Azli mengesahkan penahanan tiga individu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 50 tahun bagi membantu siasatan kes itu.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang pada 3.46 petang berhubung seorang kanak-kanak tidak sedarkan diri dengan beberapa kesan kecederaan.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas pemeriksaan mendapati tiada pernafasan, tiada bacaan oksigen, tiada reaksi anak mata dan tiada degupan jantung.
Mangsa dipercayai tinggal dengan keluarga angkat itu sejak tiga bulan lepas, dan seorang daripada suspek iaitu bapa angkat mangsa didapati positif dadah methamphetamine serta memiliki 11 rekod jenayah lampau.
-- BERNAMA