KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan Malaysia mampu mencapai imuniti kelompok dalam tempoh enam hingga sembilan bulan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jika perkara itu berlaku, beberapa prosedur operasi standard (SOP) boleh dikaji semula termasuk membenarkan rentas sempadan.

“Kita jangkakan dalam tempoh enam hingga sembilan bulan kita akan mendapat lebih banyak data. Kalau negara kita dan negara lain sudah mencapai imuniti kelompok, mungkin akan pertimbangkan (rentas sempadan).

“Jadi perbincangan akan dijalankan dari masa ke masa tetapi yang penting ialah kita perlukan bukti dulu. Dalam tempoh enam bulan hingga sembilan kita gunakan dua strategi iaitu kesihatan dan yang vaksinasi. Jadi dua-dua stategi ini berjalan seiring hingga kita dapat komuniti kelompok iaitu 70 hingga 80 peratus penduduk divaksinasi.

“(Jika ia berjaya), mungkin merentas negeri dan sempadan boleh kita pertimbangkan,” katanya dalam Sesi Libat Urus Ketua Pengarah Kesihatan Bersama Media Siri 4/2021: Perlaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya, hari ini.

Turut sama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong; Timbalan Pengarah Cawangan Pengurusan Farmasi Logistik Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi KKM, Norhuda Mohd Tajuddin; serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Maheshwara Rao Appannan.

Jelas beliau lagi,  tahap imuniti kelompok akan dilihat kepada jumlah individu yang divaksinasi.

Selain itu, kajian pengawasan terhadap komuniti akan dijalankan untuk memastikan mereka memiliki  antibodi atau sebaliknya, tambah Dr Noor Hisham.

Menerusi Program imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Malaysia menyasarkan 70 hingga 80 peratus daripada penduduk untuk mencapai imuniti kelompok.