awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Ejen insurans didakwa menyamar pengarah syarikat, tipu RM900,000
NUR@PETRA bantu rakyat jimat bil elektrik, sokong peralihan tenaga negara
Samsung tangguh pembangunan Galaxy Edge 2
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Replika kotak hadiah gergasi warnai sambutan Krismas di Gua Musang

Bernama
Bernama
24/12/2025
03:10 MYT
Replika kotak hadiah gergasi warnai sambutan Krismas di Gua Musang
Replika kotak hadiah gergasi itu melambangkan makna Hari Natal sebagai hadiah terbesar, selain menjadi simbol perpaduan lebih 40 penganut daripada kaum Cina, India dan Orang Asli yang menetap di Gua Musang. - Gambar Bernama
GUA MUSANG: Sehari menjelang Hari Natal, sebuah replika kotak hadiah gergasi dihiasi ratusan lampu LED mula menyinar di perkarangan gereja di sini, menandakan komuniti Kristian tempatan sedang menyiapkan sentuhan terakhir sambutan perayaan mereka.
Walaupun penganut Kristian merupakan komuniti minoriti di Kelantan, simbol "anugerah terindah" itu dizahirkan melalui dekorasi sederhana tetapi bermakna, mencerminkan kesyukuran dan kebersamaan komuniti kecil yang tetap menyambut Krismas dengan penuh penghayatan.
Pengerusi Gereja Presbyterian Gua Musang, Len Ooi Kim berkata, replika kotak hadiah gergasi itu melambangkan makna Hari Natal sebagai hadiah terbesar, selain menjadi simbol perpaduan lebih 40 penganut daripada kaum Cina, India dan Orang Asli yang menetap di Gua Musang.
Beliau berkata, persiapan sambutan perayaan dilakukan secara gotong-royong dengan penglibatan semua peringkat umur, daripada belia seawal 12 tahun hingga warga emas berusia sekitar 90 tahun, walaupun persiapan hanya dapat disempurnakan dalam tempoh singkat.
"Kemeriahan Hari Natal dapat dirasai melalui variasi dekorasi yang dipasang di luar dan dalam gereja yang dibina sejak 1948 ini. Masyarakat sekitar juga menzahirkan keterujaan apabila melihat hiasan yang kami sediakan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Len berkata, selain hiasan pokok Krismas dan kotak-kotak hadiah kecil di bahagian dalam gereja, replika kotak hadiah bersaiz besar yang dipasang di perkarangan luar bertujuan menghidupkan suasana perayaan serta menjadi tarikan kepada penduduk setempat dan pengunjung.
Seorang penganut, Marvin Wong Kee Seng, 31, berkata dekorasi sambutan Hari Natal tahun ini dilihat lebih meriah berbanding tahun lalu dengan penggunaan lampu LED berwarna kuning dan merah bagi menyerlahkan replika kotak hadiah berkenaan yang terletak di kawasan Bandar Lama.
"Ada sesetengah bahan hiasan yang dikitar semula dan ada juga yang dibeli baharu. Semua idea menghias ini hasil perbincangan bersama ahli," katanya sambi menambah bahawa walaupun komuniti Kristian merupakan minoriti, mereka tetap menyediakan sambutan Krismas dengan sepenuh hati, sebagai tanda kesyukuran serta untuk mengeratkan hubungan dalam komuniti.
Beliau berkata, hiasan itu turut menarik kunjungan masyarakat pelbagai kaum yang hadir untuk melihat dari dekat selain merakam gambar kenangan di perkarangan gereja.
"Dekorasi ini menggambarkan kasih sayang, kesyukuran dan kegembiraan kerana masih diberi peluang menyambut Hari Natal dan Tahun Baharu," katanya.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#Hari Krismas
#kotak hadiah gergasi
#Hari Natal
#komuniti kristian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan