KUALA LUMPUR: Kumpulan Perbankan RHB dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) pada Isnin mengadakan majlis konvokesyen neurodivergen yang mengambil bahagian dalam Program RHB #Empower.

Ia merupakan Majlis Penganugerahan Kejayaan RHB #Empower dan Neurodiversiti@Work yang pertama dsusulan program yang diadakan selama sembilan bulan bermula Oktober 2022, melibatkan 30 peserta.

Menurut Kumpulan Perbankan RHB, Program RHB #Empower direka khusus untuk mewujudkan kepelbagaian dalam pengambilan pekerja.

Ia memberi peluang kepada komuniti neurodiversiti, atau golongan neurodivergen, seperti individu dengan gangguan hiperaktif defisit perhatian (ADHD), autisme ringan dan Sindrom Asperger.

Ia mengintegrasikan golongan muda neurodivergen atau bakat neuro berumur antara 17 dan 35 tahun dalam masyarakat setempat, dengan menyediakan peluang pekerjaan serta kemahiran hidup bebas.

Program ini merangkumi pelbagai modul latihan dan pembangunan, termasuk kemahiran digital khusus seperti operasi komputer asas, reka bentuk grafik dan penyuntingan video, yang mampu meningkatkan kemahiran kognitif dan sosial peserta.
    
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Mohd Rashid Mohamad percaya. kepelbagaian dalam pengambilan pekerja adalah penting untuk membina tempat kerja yang kukuh serta inklusif.

"Kami komited menyediakan peluang kepada individu neurodiversiti untuk berkembang dan berharap program ini akan menginspirasi syarikat lain mengadaptasi neurodiversiti@work bagi mencapai potensi penuh mereka," tambah beliau.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program RHB #Empower dan gerakan Neurodiversiti@Work, layari laman web www.rhbgroup.com.