KUALA LUMPUR: Perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023 turut berlangsung di ibu negeri Sarawak dan Sabah pagi ini, dalam menghayati perjuangan pembangunan ummah yang diwarisi daripada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Di SARAWAK, hujan renyai tidak mematahkan semangat 10,991 peserta daripada 248 kontinjen dari pelbagai jabatan serta agensi untuk menyertai perhimpunan dan perarakan sempena Maulidur Rasul di Padang Merdeka, Kuching.

Majlis yang bermula pada pukul 7.30 pagi itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Abang Johari dalam ucapannya pada majlis itu berkata Sarawak akan menjadikan Piagam Madinah yang dicetuskan Nabi Muhammad SAW sebagai asas dalam merangka dasar di negeri itu.

Katanya, piagam yang turut dikenali sebagai Perlembagaan Madinah itu memberi penekanan kepada keadilan untuk semua tanpa mengira agama terutamanya dalam urusan pentadbiran.

"Piagam itu tercatat dalam sejarah dunia sebagai satu dokumen perjanjian yang mencerminkan kemuliaan sifat Nabi Muhammad SAW dalam hubungan antara agama.

"Oleh itu, kita di Sarawak mengambil iktibar daripada piagam itu, kerana kita mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama, dan kerajaan Sarawak akan berikan keadilan untuk semua," katanya.

Di SABAH, lebih 10,000 orang menyertai Perarakan dan Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1445H/2023M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu hari ini.

Terdahulu, lebih 100 kontinjen terdiri jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan sempena sambutan itu sejauh kira-kira 3 kilometer dari Padang Merdeka hingga ke SICC.

Perarakan diketuai Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menyaksikan peserta perarakan, yang mengenakan pakaian berwarna warni baju Melayu dan baju kurung, berselawat dan membawa sepanduk menyatakan kasih sayang kepada Rasulullah SAW.

Turut menyertai perarakan itu Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Rakyat Sabah yang berbilang latar belakang agama dan kaum tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan perarakan itu, malah ada yang merakam video dan gambar serta melakukan siaran langsung di media sosial masing-masing.

Tun Juhar dan peserta perarakan itu kemudian memasuki SICC untuk menyertai majlis perhimpunan berkenaan.

-- BERNAMA