Sebanyak 89 keluarga dari tujuh daerah di negeri ini terjejas apabila rumah mereka rosak akibat angin kencang dalam kejadian ribut lewat petang Ahad dan awal pagi Isnin.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Azmi Abd Karim berkata daerah terlibat ialah Kota Setar, Padang Terap, Langkawi, Pendang, Sik, Kubang Pasu dan Kulim.

"Setakat kini, bantuan Tabung Bantuan Segera (TBS) antara RM100 hingga RM300 telah kita salurkan kepada sebahagian mangsa termasuk di Langkawi dan Padang Terap bagi meringankan beban yang ditanggung selain diberi bantuan bencana berupa tikar, selimut, kain pelikat dan kain batik," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Kampung Lemping dan Kampung Kubang Siam di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan dalam daerah Kota Setar mendapati kebanyakan rumah berkenaan mengalami kerosakan bumbung akibat diterbangkan angin.

Siti Nur Zulaika Salleh, 22 tahun, dari Kampung Kubang Siam berkata kejadian kira-kira 2.30 pagi Isnin menyebabkan bumbung bahagian biliknya diterbangkan angin semasa dia sekeluarga tidur.

"Saya sedar angin kuat di luar dan tidur semula, tapi bila lampu bilik iaitu lampu panjang jatuh atas badan saya bersama air hujan baru saya sedar lampu dah terpadam, bumbung rumah dah tercabut sebelum keluar menyelamatkan diri.

"Mujur adik saya datang cepat-cepat tutup suis lampu, jika tidak mungkin saya terkena renjatan elektrik," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini, Isnin.

Siti Nur Zulaika berkata kejadian itu menyebabkan dia sekeluarga menanggung kerugian hampir RM10,000 apabila keseluruhan bumbung rumah diterbangkan angin menyebabkan perabot rumah, buku sekolah milik adik-adiknya rosak akibat hujan.

Md Zohair Salleh, 50 tahun, pula berkata angin kuat melanda rumahnya kira-kira 6.30 petang Ahad menyebabkan keseluruhan bumbung zink di ruang tamu dan bilik diterbangkan kira-kira 100 meter ke kawasan sawah berhampiran.

Katanya beliau bersyukur kerana ketika kejadian, isteri dan tiga anaknya tiada di rumah kerana menghadiri kenduri di kampung berhampiran.

"Kejadian hanya dua minit berlaku, angin mai (datang) serta hujan lebat menyebabkan saya tak dapat buat apa-apa...saya hanya fikir untuk menyelamatkan diri di sudut rumah yang selamat kerana angin cukup kuat. Ini kali pertama berlaku kepada saya dan masih lagi trauma dengan kejadian itu," katanya yang mendakwa kerugian kira-kira RM20,000.

Terdahulu, Anggota Dewan Undangan Negeri Kubang Rotan, Mohd Asmirul Anuar Aris berkesempatan melawat rumah Md Zohair dan penduduk lain di DUN berkenaan yang terjejas dengan ribut.

Beliau turut meminta mangsa yang terlibat supaya segera membuat laporan polis bagi memudahkan proses penyaluran bantuan oleh jabatan dan agensi berkenaan.

"Bagi DUN Kubang Rotan, setakat ini ada lima rumah yang kita kenal pasti dan beri bantuan awal wang tunai manakala bantuan lain akan disusuli Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan JKM," katanya.

-- BERNAMA