Ribut Tropika Senyar: Hampir 100 rumah rosak di Port Dickson, IPD turut terjejas

Mangsa banjir mengharungi air yang melimpah ke jalan raya untuk berpindah ke kawasan selamat ketika tinjauan di sekitar pekan Linggi, Port Dickson, hari ini. - Gambar/ Bernama
PORT DICKSON: Ribut Tropika Senyar yang melanda daerah ini awal pagi tadi mengakibatkan 89 rumah rosak selain bumbung Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson tercabut akibat angin kencang.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata pihak polis akan meningkatkan rondaan dan pemantauan di PPS serta kawasan perumahan terkesan banjir bagi memastikan tiada kecurian berlaku di kawasan terlibat.
"Ribut itu telah menjejaskan lebih 89 rumah di daerah ini manakala IPD Port Dickson turut mengalami kerosakan pada bahagian bumbung yang tercabut akibat angin kencang malam tadi," katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Jimah Lama, Jamaludin Adi, 32, berkata kejadian berlaku sekitar 2.30 pagi ketika angin kuat meranapkan bumbung hadapan rumah pusaka milik arwah ibu bapanya sebelum pokok tumbang menghempap bahagian dapur.
“Sekitar 4.30 pagi pula, air mula masuk dengan laju. Saya hanya sempat selamatkan barang penting sebelum dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Jimah,” katanya ketika ditemui Bernama.
Seorang lagi penduduk, Hasni Yahya, 67, berkata hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan rumahnya dinaiki air sehingga paras pinggang dalam tempoh singkat.
“Tiada apa yang dapat diselamatkan… pakaian, barangan elektrik semuanya tenggelam. Ini banjir paling buruk pernah saya alami,” katanya yang menetap di kampung itu lebih 50 tahun.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


