Skip to main content

Malaysia

Risikan bongkar makmal dadah haram ambil masa berbulan, elak operasi "premature" - Bukit Aman

BACHOK, 10 Sept - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan bercakap pada sidang media selepas Program lawatan strategik ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok, di sini hari ini. - fotoBERNAMA (2026)
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan bercakap pada sidang media selepas Program lawatan strategik ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok, hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

BACHOK: Proses risikan bagi membongkar kegiatan makmal dadah haram boleh mengambil masa berbulan-bulan, malah sehingga setahun bagi memastikan keseluruhan rangkaian sindiket dikenal pasti sebelum tindakan serbuan dan tangkapan dilakukan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata tempoh risikan yang panjang itu penting bagi membolehkan pihaknya menjejaki pergerakan bahan kimia atau prekursor dari pintu masuk negara, termasuk mengenal pasti lokasi transit, individu terlibat serta bahan yang dihasilkan.

“Kalau prekursor ataupun bahan kimia itu sampai di Pelabuhan Klang, kami dapat maklumat, kami kena jejak benda itu pergi ke mana. Sebab ia akan transit di beberapa tempat, lepas itu kami kena lihat siapa yang terlibat dan apa yang mereka keluarkan.

“Semua ini mengambil masa, kadang-kadang berbulan-bulan, sehingga kami pasti apa yang mereka lakukan itu adalah makmal dadah haram dan individu-individu yang terlibat, barulah sampai masa kami akan buat serbuan dan juga tangkapan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan strategik ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok hari ini.

Beliau berkata tindakan terlalu awal atau pramatang boleh menyebabkan pihak berkuasa hanya berjaya menahan seorang atau dua individu, termasuk pengangkut tetapi gagal membongkar lokasi sebenar makmal dan keseluruhan rangkaian sindiket.

“Kalau kami buat lebih awal daripada itu, kami cuma akan dapat satu atau dua orang ataupun pengangkut dan kami mungkin tidak dapat bongkar kedudukan makmal dadah haram yang sebenar,” katanya.

Hussein berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tempoh risikan operasi dadah yang mengambil masa yang panjang untuk membongkar kes.

Sementara itu, Hussein ketika mengulas operasi di Puncak Alam, Selangor semalam berkata risikan yang dijalankan membolehkan pihaknya bukan sahaja membongkar makmal dadah haram, malah menahan kebanyakan anggota sindiket terbabit.

Beliau berkata operasi itu turut menyaksikan seorang suspek bertindak agresif terhadap polis sehingga menyebabkan suspek berkenaan maut ditembak.

Menurut Hussein, tempoh yang diambil dalam sesuatu operasi turut bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk keluasan kawasan perindustrian, pergerakan individu yang diperhatikan serta tahap risiko keselamatan.

“Kami kena ikut banyak risikan, kami kena ikut orang, lokasi sebab kawasan perindustrian terlalu luas dan bukan mudah untuk kami tahu pusat industri yang dibuat sebagai makmal dadah haram.

“Kami juga kena melihat risiko keselamatan dari segi tahap bahaya dan kekuatan sindiket ini. Adakah mereka mempunyai senjata dan sebagainya untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku sewaktu buat serbuan,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan polis menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah dengan rampasan dianggarkan bernilai RM2.4 bilion, selain membongkar sebuah makmal haram di Puncak Alam menerusi Ops Eumenes di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada 15 Ogos lepas.

Berikutan itu, tiga lelaki tempatan serta masing-masing seorang lelaki dan wanita warga asing, berumur 29 hingga 43 tahun ditahan menerusi enam siri serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement