Risiko iklim kian meruncing, Majlis Pengurusan Bencana Negara perlu ditubuhkan - Lee Lam Thye

Menurut Lam Thye, pendekatan pengurusan bencana sedia ada yang selama ini tertumpu kepada banjir monsun bermusim tidak lagi memadai, susulan kekerapan dan ketidaktentuan bencana berkaitan iklim yang semakin meningkat. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara, seperti dicadangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi amat diperlukan bagi menyediakan kepimpinan berpusat serta perancangan jangka panjang dalam menangani peningkatan risiko bencana berkaitan perubahan iklim di Malaysia.
Pengerusi Alliance For A Safe Community, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pendekatan pengurusan bencana sedia ada yang selama ini tertumpu kepada banjir monsun bermusim tidak lagi memadai, susulan kekerapan dan ketidaktentuan bencana berkaitan iklim yang semakin meningkat.
"Malaysia kini berdepan kejadian hujan lebat luar biasa, banjir kilat di kawasan bandar, tanah runtuh, hakisan pantai, gelombang haba berpanjangan, kemarau serta kebakaran hutan, yang kebanyakannya berlaku di luar tempoh monsun tradisional dan menjejaskan kawasan yang sebelum ini dianggap berisiko rendah.
"Realiti baharu ini menuntut peralihan daripada tindak balas berpecah dan reaktif kepada satu strategi nasional yang menyeluruh serta berpandangan jauh. Penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara akan menyediakan kerangka institusi yang diperlukan untuk tujuan itu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Lam Thye berkata, majlis berkenaan perlu diberikan mandat yang jelas bagi menyediakan hala tuju strategik, penyelarasan dan pengawasan, melangkaui aspek tindak balas kecemasan dan bantuan kepada pengurangan risiko bencana, kesiapsiagaan, pembinaan daya tahan serta perancangan berasaskan maklumat iklim.
Beliau berkata, majlis berkenaan juga wajar merangka strategi nasional risiko dan daya tahan bencana bagi memastikan pertimbangan risiko bencana diintegrasikan sepenuhnya dalam perancangan pembangunan, dasar guna tanah, perumahan, infrastruktur serta pengurusan alam sekitar.
"Kesiapsiagaan bencana mesti dianggap sebagai keutamaan nasional dan isu keselamatan, bukan sekadar kebimbangan kemanusiaan," katanya.
Seiring kesan perubahan iklim yang semakin ketara, Lam Thye berkata, majlis berkenaan perlu menerajui penilaian risiko berkaitan iklim secara menyeluruh serta mengemas kini peta bahaya negara secara berkala berdasarkan data dan unjuran saintifik terkini, memandangkan pengalaman lampau tidak lagi boleh dijadikan panduan yang boleh dipercayai.
Menurutnya, pengurusan bencana yang berkesan turut memerlukan penyelarasan kukuh antara pihak berkuasa Persekutuan, negeri dan tempatan.
"Majlis Pengurusan Bencana Negara dapat membantu menghapuskan pertindihan, menangani jurang bidang kuasa dan memastikan struktur perintah yang jelas semasa kecemasan," katanya sambil menegaskan keperluan memberi penekanan lebih besar terhadap kesiapsiagaan, pencegahan serta ketelusan dalam perbelanjaan berkaitan bencana.
Lam Thye berkata, majlis itu juga perlu memainkan peranan penting dalam aspek pengawasan dan akauntabiliti melalui pelaksanaan semakan pascabencana bagi mengenal pasti kelemahan, mengambil iktibar dan menambah baik tindak balas pada masa hadapan, selain menekankan bahawa ketelusan dalam perbelanjaan dan pengagihan bantuan bencana amat penting bagi mengekalkan kepercayaan awam.
Pada Khamis, Ahmad Zahid mencadangkan penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara sebagai pihak berkuasa tertinggi bagi menyelaras pengurusan bencana dan usaha pengurangan risiko bencana di seluruh negara.
- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


