MELAKA: Tiga remaja maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Tambak Paya, di Melaka Tengah, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata mangsa, Muhammar Adiff Farihin Mohd Anuar, 15, Muhammad Azmi Abdul Rahimah dan Nur Khairiah Mat Mazlin masing-masing berusia 16 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala, muka dan anggota badan.
Advertisement
Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan maut yang melibatkan pelajar sekolah menengah itu kira-kira 3.50 pagi.
"Siasatan awal mendapati tiga motosikal iaitu Yamaha Y16 dan dua Yamaha 15ZR terlibat dalam kejadian itu. Dua daripadanya dipercayai dari arah Bukit Katil menghala ke Tiang Dua manakala sebuah lagi dari arah bertentangan.
“Setibanya di lokasi kejadian di Jalan Tambak Paya, ketiga-tiga motosikal dipercayai bertembung depan dengan depan di tengah jalan menyebabkan ketiga-tiga mangsa maut di lokasi kejadian akibat cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata seorang lagi penunggang motosikal Muhammad Haziq Haikal Kassim, 18, mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, kaki serta tangan dan kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Melaka.
Dalam pada itu, Christopher berkata keadaan jalan ketika kejadian adalah lurus dengan permukaan kering, cuaca baik namun gelap dengan hanya pencahayaan lampu jalan di samping tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rakaman papan pemuka (dashcam) atau saksi bebas ditemui di lokasi kejadian.
Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat, manakala semua motosikal yang terlibat ditahan bagi pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Alor Gajah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
-- BERNAMA